Nasi kenduri ‘sambut’ jemaah solat Jumaat
Oleh KOSMO!
20 Disember 2024, 5:08 pm
Jemaah Masjid Kapitan Keling dijamu nasi kenduri percuma sebelum menunaikan solat Jumaat, hari ini
GEORGE TOWN – Pihak pengurusan Masjid Kapitan Keling di sini mengambil pendekatan dengan menjamu para jemaah dengan hidangan nasi kenduri secara percuma bagi menggalakan mereka lebih datang awal untuk menunaikan solat Jumaat.
Pengerusinya, Datuk Faruk V Raja Mohamed berkata, hidangan tersebut disediakan untuk 300 jemaah pada setiap Jumaat, bermula 13 Disember lalu.
Menurutnya, pihak masjid prihatin dengan para jemaah terutama kakitangan pejabat termasuk rider makanan di kawasan ini.
“Pendekatan ini dilihat berjaya menarik perhatian jemaah untuk datang sejam lebih awal dan penuhi sah dalam masjid.
“Mereka dijamu hidangan nasi kenduri dengan ayam sambal, kari daging lembu dan buah kurma. Pendekatan sebegini juga dapat mengimarahkan masjid yang bukan sahaja menjadi tumpuan pada bulan Ramadan malah ketika menunaikan solat Jumaat,” katanya.
Masjid Kapitan Keling dibangunkan pada 1801 dan merupakan antara masjid tertua di Pulau Pinang. -KOSMO! ONLINE
|