|
Sejak berhijrah ke jalan Allah kira-kira 14 tahun lalu, komposer juga penyanyi lagu kerohanian, Iwan Syahman, 64, kini aktif berdakwah, termasuk mengajar ilmu agama.
Iwan atau nama sebenarnya Wan Syahman Wan Yunus berkata, dia memiliki pentauliahan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk berdakwah dan mengajar di Selangor.
"Saya memang ada dapat (tauliah) dan ia untuk (berdakwah dan mengajar agama) di Selangor saja. Alhamdulillah, Allah berikan rezeki itu buat saya.
"Apa yang saya lakukan adalah untuk sebarkan ilmu agama dengan berdakwah dan mengajar sebagai jihad ikhlas ke jalan Allah dan bekalan saya di akhirat nanti.
"Cuma, untuk tauliah di negeri-negeri lain ada juga saya mohon, tetapi masih dalam proses (kelulusan). Apapun, ini semua adalah rezeki daripada Allah," katanya kepada Harian Metro.
Bapa sembilan anak ini berkata, dia juga bersyukur melihat perubahan segelintir selebriti lelaki tanah air yang kini terbabit menyertai tabligh serta sudah keluar bermusafir selama empat bulan.
"Alhamdulillah, saya juga gembira melihat semakin ramai artis lelaki yang menyertai tabligh sekali gus mendekatkan diri mereka kepada agama, termasuk keluar berdakwah dengan bermusafir.
"Antaranya Faizal Ismail, Ijam (Medicine), Ali (XPDC) dan ramai lagi yang sudah keluar bermusafir menyebarkan ilmu agama bersama tabligh selama empat bulan di dalam dan luar negara," katanya.
Menurut Iwan, walaupun kesibukan bekerja dalam mencari rezeki keluarga yang perlu dilakukan, namun sekurang-kurangnya mereka sudah tahu perjalanan untuk berdakwah itu macam mana.
Terdahulu, Iwan memaklumkan dia amat bersyukur apabila dikurniakan hidayah untuk berubah kembali ke jalan Allah ketika berusia 49 tahun dan membuat jiwanya kini tenang.
Pada 1987, Iwan pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penerbit, Allahyarham Rosnah Mohd Noor dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Wan Ramada Agus Putra, Octovia Manrose dan Aprena Manrose.
Kini, Iwan bertemu jodoh baharu dengan isterinya, Evie Surriyanti yang berasal dari Permatang Siantar, Medan, Indonesia sejak 12 tahun lalu dan bahagia dengan anak.
Sumber: Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|