Dr Abdul Rahman bercakap kepada pemberita selesai menyerahkan sumbangan di Persada Majma’, Aras 17, Majma’ Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Sistem perparitan yang dibangunkan Kerajaan Sarawak menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Pantai Damai sejak lima tahun lalu sedikit sebanyak membantu mengurangkan risiko banjir.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek-projek perparitan tersebut telah memainkan peranan penting dalam menyalurkan air dengan lebih efisien, sekali gus mengurangkan kejadian air bertakung di kawasan kerap banjir.
“Sejak lima tahun lepas, kita telah memberi keutamaan kepada projek-projek kerajaan terutama RTP dengan menumpukan pada pembinaan sistem perparitan. Alhamdulillah, sistem perparitan yang dibina banyak membantu menyalurkan air, terutama ketika hujan lebat.
“Bila hujan lebat, air dapat disalurkan ke sungai atau laut dengan lebih lancar. Akibatnya, kejadian air bertakung di tempat yang dahulunya sering banjir kini semakin berkurangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selesai Majlis Penyerahan Sumbangan Umat Islam Sarawak untuk Mangsa Banjir di Persada Majma’, Aras 17, Majma’ Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kawasan kerap banjir seperti Kampung Pasir Pandak, Kampung Buntal, Kampung Sungai Batu dan Sungai Lumut juga terkawal pada masa ini dengan air dilaporkan naik namun dilihat akan surut dengan lebih cepat.
Meskipun keadaan di kawasan seliaannya dilaporkan terkawal, Dr Abdul Rahman menegaskan bahawa pasukan pihaknya yang terdiri daripada ketua masyarakat dan ketua kaum serta Unit Prihatin Pantai Damai sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
“Kita ada WhatsApp group untuk memaklumkan kampung mana yang terjejas dan apabila air mula naik, pasukan kita akan sentiasa bersedia untuk membantu.
“Kita juga berhubung dengan agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), BOMBA serta balai polis berhampiran untuk memastikan tindakan segera dapat diambil,” jelasnya.
Menurut Dr Abdul Rahman juga, sekiranya keadaan bertambah kritikal, pihaknya akan berhubung dengan unit keselamatan negeri bagi mendapatkan bantuan tambahan.
|