Uggah melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Serian. - Gambar Galileo Petingi
SERIAN: Bencana banjir yang melanda Sarawak ketika ini telah menjejaskan sebanyak 226 jalan raya di seluruh negeri, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Daripada jumlah itu kata Uggah, sebanyak 148 jalan terputus akibat banjir, 75 mengalami hakisan dan tiga mengalami kerosakan pembetung.
“Kita telah arahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk berjaga-jaga sepenuhnya dan mengambil tindakan segera untuk membaik pulih jalan terjejas akibat banjir mahupun hakisan.
“Kita faham dalam situasi sekarang ini adalah sangat mencabar untuk JKR membaik pulih jalan yang terjejas tetapi nampaknya mereka berjaya mengharunginya, contohnya di bahagian Kapit mereka berjaya baik pulih jalan yang rosak dalam masa enam jam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Masyarakat Serian di sini hari ini mengenai perkembangan situasi banjir di seluruh Sarawak.
Mengenai situasi banjir di Sarawak, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata sebanyak 57 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di seluruh Sarawak dengan seramai 2,765 ketua isi rumah (KIR) melibatkan seramai 9,564 mangsa.
Bahagian Serian katanya, merekodkan PPS terbanyak iaitu 19 PPS dengan 667 KIR dan 2,066 mangsa diikuti Samarahan dengan 11 PPS, 286 KIR dan 795 mangsa.
Di Bintulu katanya, sebanyak sembilan PPS dibuka melibatkan 1,267 KIR dengan jumlah mangsa seramai 4,605 orang manakala di Miri, sebanyak lapan PPS dibuka (2 PPS tanah runtuh) melibatkan seramai 121 KIR dan jumlah mangsa seramai 398.
Untuk Sibu pula sebanyak enam PPS dibuka dengan 234 KIR terkesan melibatkan seramai 1,018 mangsa manakala di Kuching hanya empat PPS dibuka dengan 156 KIR dan 496 mangsa.
“Kita telah melawat beberapa tempat terjejas banjir dan kita berpuas hati dengan usaha-usaha pertama, memindahkan mangsa yang terlibat khususnya di kawasan Bintulu yang tidak pernah mengalami banjir selama ini.
“Begitu juga di tempat lain, saya ucapkan tahniah kepada semua agensi yang diketuai residen bahagian dan ahli -ahli jawatankuasa JPBNS di peringkat bahagian dan daerah dan juga berterima kasih kepada Yang Berhormat (YB) Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sama-sama turun membantu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbang kepada PPS.
“Dengan adanya kerjasama daripada semua, kita dapat kurangkan kesukaran dan semalam di Bintulu kita nampak sangat ia adalah masa yang sangat mencabar,” katanya.
Uggah turut menasihati mangsa banjir yang masih enggan berpindah ke PPS untuk segera berpindah demi keselamatan mereka. Beliau juga berkata anggota polis dan keselamatan akan ditugaskan bagi memantau kawasan-kawasan yang ditingalkan akibat banjir.
Terdahulu sebelum sidang media itu, Uggah bersama pasukannya mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah sebelum ke PPS Dewan Masyarakat Serian diikuti PPS SK Endap di Kota Samarahan.
https://www.utusanborneo.com.my/2025/01/31/banjir-jejas-226-jalan-di-seluruh-sarawak
|