Kereta yang dinaiki mangsa dan keluarganya terbalik di dalam parit sejurus kemalangan tersebut semalam.
MUKAH: Kematian seorang remaja lelaki dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Sibu-Bintulu, Selangau pada petang semalam adalah akibat lemas setelah kenderaan dinaikinya terbalik di dalam parit.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, semasa kejadian mangsa dan keluarganya dalam perjalanan menuju ke Sibu dari arah Bintulu.
Beliau memberitahu, mangsa dikenali sebagai Mohamad Syakirul Faqeh Mohamad Zamari, 16, tersepit dalam kenderaan pacuan roda yang dipandu ayahnya.
"Lebih kurang jam 10 pagi berlaku satu kemalangan jalan raya maut di KM130 Jalan Sibu-Bintulu melibatkan dua kenderaan iaitu pacuan empat roda yang bergerak dari arah Bintulu dengan sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.
"Siasatan mendapati bahawa kemalangan berlaku apabila pacuan empat roda yang bergerak lurus dari arah Bintulu menuju ke Sibu, ketika tiba di KM130, Jalan Sibu-Bintulu telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar kereta yang diletakkan di bahu jalan lalu terjunam dan terbalik di dalam parit," katanya dalam satu kenyataan.
Akibat kemalangan tersebut jelasnya, mangsa yang berada di tempat duduk belakang pacuan empat roda disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan Klinik Kesihatan Selangau.
"Ayah mangsa, Mohamad Zamari Marassan, 48, cedera bahagian dada manakala ibu mangsa, Siti Armah Abdul Hamid, 41, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan dan adik mangsa Mohamad Syahir Fayyadh, 6, masing-masing tidak mengalami kecederaan," jelasnya.
Rizal memberitahu, pemandu kereta seorang lelaki berusia 22 tahun juga tidak mengalami kecederaan.
Tambahnya lagi, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
|