Edited by Vellfire at 2-2-2025 04:26 PM
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250131/lbg-ub310125-dm-pengeluaranmakananasfia1.jpg)
Asfia (empat kiri) menyerahkan cek MRP kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan (dari kiri) Sulaiman, Paulus dan Dr Abdul Rahman.
LIMBANG: Sarawak bertekad mengurangkan kebergantungan terhadap beras import dengan menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 250,000 tan metrik padi di wilayah ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, Sarawak melalui Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) akan menggunakan kaedah pertanian moden untuk mencapai hasrat tersebut.
“Sarawak mempunyai sasaran untuk mengeluarkan 250,000 tan beras untuk menampung bekalan makanan, selain mengurangkan kebergantungan kepada makanan import.
“Premier memberi kepercayaan kepada M-FICORD untuk meningkatkan bekalan makanan menggunakan kaedah moden dan mengeksport banyak makanan ke luar negara, ini akan meningkatkan ekonomi dan kekayaan Sarawak,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Limbang baru-baru ini.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap ADUN Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla [url=mailto ouise@Rozita]Louise@Rozita[/url] Kulai dan Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal.
Kata Asfia lagi, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan penting sebagai pemimpin di peringkat akar umbi untuk menyampaikan dasar dan program pembangunan kerajaan.
Pada majlis itu, dana sebanyak RM296,000 diperuntukkan bagi pembangunan komuniti di kawasan DUN Batu Danau menerusi geran projek kecil luar bandar atau MRP.
Sebanyak 12 cek MRP bernilai RM120,000 telah diserahkan kepada 12 JKKK di kawasan Batu Danau.
Selain itu, Paulus turut menyerahkan 41 cek bernilai RM176,000 kepada para penerima yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), JKKK dan unit SABERKAS.
Dana itu bertujuan menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, sosial serta inisiatif tahunan yang dijalankan pertubuhan setempat.
|