Alor Setar: Bekas Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdul Gafar Yahya dilantik sebagai Datuk Bandar Alor Setar, berkuat kuasa hari ini.
Abdul Gafar, 54, menggantikan Datuk Mohd Yusri Md Daud yang bersara wajib, 30 Januari lalu.
Beliau mengangkat sumpah di hadapan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), pengarah jabatan dan ketua bahagian serta jemputan khas yang hadir pada Majlis Pelantikan Datuk Bandar Alor Setar.
Abdul Gafar berkata, beliau berterima kasih kepada kepimpinan kerajaan negeri atas pemilihan dan pelantikannya ke jawatan itu.
"Saya berasa bangga dan cukup bertuah menerima jawatan ini kerana MBAS adalah penerima anugerah lima bintang bagi Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Anugerah Bandar Mampan, Anugerah Penerima Asean Standards Clean Tourist City 2024-2026 dan banyak lagi.
"Saya bersedia untuk berkhidmat dan menggembleng tenaga bagi memastikan segala keperluan penduduk di daerah ini dapat dipenuhi dan dijaga dengan baik," katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, sebagai Datuk Bandar baharu, beliau akan memberi fokus kepada tiga perkara iaitu adaptasi, kolaborasi dan inovasi untuk kemajuan Bandaraya Alor Setar.
"Saya akan cuba menyesuaikan fokus itu dengan semua lapisan masyarakat dan berkolaborasi," katanya.
Abdul Gafar berkata, pihaknya akan turun padang dengan lebih kerap untuk memastikan isu seperti banjir kilat, kemudahan awam dan kebersihan dapat diatasi.
"Saya juga ingin menjemput anak muda untuk bersama berkarya dengan MBAS, sekiranya mereka ada aktiviti atau program yang ingin dibuat, mereka boleh berjumpa saya," katanya.