![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250201/chiewchoonman2.jpg)
MIRI: Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 yang dijadualkan diadakan pada 7 Februari di Miri dibatalkan susulan bencana banjir yang sedang melanda beberapa kawasan, termasuk di Sarawak.
Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man (gambar) dalam kenyataannya hari ini memberitahu, keputusan itu dibuat sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap mangsa-mangsa banjir yang terkesan akibat bencana.
Beliau memberitahu, banyak keluarga telah dipindahkan dari kediaman mereka dan keutamaan sekarang adalah untuk menyalurkan bantuan serta memastikan usaha pemulihan dapat dilakukan dengan segera.
"Sebagai langkah susulan, saya akan mencontohi Ahli Parlimen Bintulu YB Menteri Datuk Seri Tiong untuk menggunakan peruntukan serta sumber yang sepatutnya digunakan untuk penganjuran majlis ini disalurkan kepada usaha bantuan bencana bagi membantu mereka yang terjejas.
“Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan organisasi tempatan untuk memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan secepat mungkin," jelas beliau.
Sehubungan itu, Chiew menyeru semua pihak untuk bersama-sama membantu mangsa banjir dengan apa jua cara yang termampu.
Keutamaan sekarang adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua yang terlibat, tambahnya.
|