Keadaan di Jalan Lukut/Penyulau yang dinaiki air setinggi lebih kurang 0.30 meter.
SIBU: Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihati supaya sentiasa mengikuti perkembangan banjir melalui hebahan radio, televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan serta Bilik Gerakan Banjir Negeri atau daerah yang berhampiran.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu Andy Alie berkata, penduduk juga harus memastikan lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan Pusat Bantuan Bencana yang berdekatan.
"Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya. Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama dalam bekas kalis air," ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau juga menasihati penduduk supaya berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ia lebih mudah dan selamat.
ANDY
"Jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang selamat. Elakkan melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.
"Selalu dapatkan maklumat mengenai taburan hujan seperti akses kepada laman web Jabatan Meteorologi, portal bencana atau Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia," katanya.
Sementara itu, hujan yang berterusan menyebabkan Jalan Lukut Penyulau dinaiki air dan sukar untuk dilalui kenderaan.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sibu Mej (PA) Wan Mohd Wan Mohd Badrudin berkata, hasil tinjauan pada jam 7.20 pagi tadi, mendapati jalan tersebut dinaiki air lebih kurang 0.30 meter dan hanya dapat dilalui kenderaan berat serta pacuan empat roda.
"Semasa tinjauan, paras air menunjukkan penurunan dan cuaca dalam keadaan baik. Keadaan di lokasi adalah terkawal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
|