Situasi banjir di Sibuti melibatkan kawasan Bekenu dan Niah, menerusi pandangan udara. -Gambar FB Dato Lukanisman
Sehubungan itu, beliau berkata mangsa banjir telah dipindahkan ke PPS Bekenu sementara rancangan sedang dijalankan untuk membuka lebih banyak PPS dalam beberapa hari akan datang.
“Kita cuba buka beberapa lagi pusat pemindahan terutama di Kampung Bungai dan Kampung Selanyau,” katanya.
Selain isu telekomunikasi, satu lagi cabaran utama ialah akses ke kawasan dan kampung yang terjejas.
Lukanisman menegaskan bahawa beberapa jalan utama di kawasannya telah terputus sepenuhnya, menyebabkan misi menyelamat serta penghantaran bantuan, terpaksa menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo melalui Bakun dan Samalaju untuk sampai ke Batu Niah dan kawasan sekitarnya.
Katanya disebabkan lencongan itu, bantuan mengambil masa lebih lama untuk sampai kepada mangsa.
Sementara itu, dari segi tenaga kerja, Lukanisman berkata beliau telah meminta bantuan daripada anggota tentera dan polis dari Miri.
“Selain itu, kita juga mempunyai sukarelawan yang ditugaskan untuk mengesan 77 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Isnin ini.
“Semalam, kami berjaya mengesan dua pelajar yang akan menduduki peperiksaan di SMK Riam,” katanya.
Mengenai bantuan makanan, Lukanisman menyatakan bahawa bekalan adalah mencukupi tetapi mangsa memerlukan lebih banyak selimut, bantal, tuala dan tilam di PPS.
Hujan lebat sejak 27 Januari lepas yang berlarutan beberapa hari menyebabkan beberapa kawasan rendah di Ulu Niah dilanda banjir.
Bagaimanapun, keadaan bertambah buruk, dengan kawasan lain termasuk rumah dan pusat komersial di Bekenu yang berada di kawasan lebih tinggi, turut mengalami banjir dengan paras air yang agak tinggi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah Rary Binjie ketika dihubungi berkata jalan utama dari persimpangan Bekenu ke jambatan utama Sibuti masih tidak dapat dilalui kerana paras air di kawasan itu masih tinggi.
"Mereka yang ingin ke Bintulu dinasihati agar menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo sebagai alternatif," katanya.
Beliau menambah, paras air di Ulu Niah, Suai dan Bekenu kekal tinggi pagi semalam, dengan trend air termenung.
"Anggota kami telah dibahagikan kepada dua pasukan untuk memantau kawasan ini. Kami bersiap sedia 24 jam sehari," katanya.
Kakitangan BBP Batu Niah memindahkan mangsa banjir dari rumah mereka ke tempat selamat. -Gambar Bomba