![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250201/btu-ub010225-ar-banjir01.jpg)
Pengerusi SHEDA Bintulu Noel Yek (lima kanan) menyerahkan cek bantuan bernilai RM600,000 kepada Nyurak sambil dilaksikan Abang Johari pada majlis berkenaan.
BINTULU: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Bintulu menyumbangkan sebanyak RM600,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi membantu mangsa terjejas banjir di bahagian ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tindakan SHEDA yang merupakan badan korporat serta perniagaan ini harus dicontohi kerana bantuan amat diperlukan bagi membantu penduduk terjejas banjir sekali gus membantu membina semula kehidupan mereka yang terjejas teruk akibat bencana alam.
"Sumbangan yang disalurkan SHEDA ini nanti akan diagihkan kepada Sekretariat JPBN Bahagian dan Daerah bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di bahagian ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Jamuan Bersama Rakyat DUN N.68 Tanjung Batu di New World Restaurant Bintulu hari ini.
Katanya, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana negeri dilanda musibah banjir.
Setiap orang khususnya mangsa banjir berasa amat terkesan dengan musibah yang melanda negeri ini yang mana semua pihak tidak kira bangsa dan agama saling berkongsi kesedihan ekoran musibah banjir yang melanda hampir semua kawasan di negeri ini.
"Justeru, saya menzahirkan rasa penghargaan serta terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam musibah ini terutama agensi kerajaan dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat dan perniagaan serta orang perseorangan yang menghulurkan bantuan bagi urusan pemindahan serta membantu mangsa," ujarnya.
Dalam ucapannya, Abang Johari turut menzahirkan penghargaan kepada PETRONAS, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Sarawak Petchem serta syarikat syarikat perindustrian yang tampil menghulukan bantuan bagi membantu mangsa termasuk JPBNS.
"Semangat sebeginilah yang kita mahukan yang mana semua pihak berganding bahu dan saling bantu membantu antara satu sama lain tatkala negeri ini dilanda musibah banjir yang luar biasa ini," tambahnya.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai dan Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti antara yang hadir.
|