Seorang penuntut perubatan maut selepas mandi asid angkara perbuatan kejam suaminya, Meraj Zafar.
Perbuatan kejam Meraj, 20, dipercayai angkara cemburu melihat mangsa berusia 19 tahun itu dengan lelaki lain.
Arnima Hayat (kiri) maut selepas mandi asid angkara perbuatan suaminya, Meraj Zafar. FOTO Agensi
Mirror UK melaporkan, mandian itu diisi dengan asid hidroklorik dan terdapat satu mayat dalam keadaan tertiarap.
Tubuh Arnima hancur akibat rendaman asid itu sehingga terpaksa dikenal pasti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkannya.
Sebelum itu, Meraj dan trak kerjanya hilang dan menjadi suspek utama.
Imejnya didedahkan polis dan 20 jam kemudian dia menyerah diri.
Polis menyusun garis masa dan membuat kesimpulan Arnima dibunuh hanya 45 minit selepas menghantar mesej terakhirnya kepada rakannya.
Meraj meninggalkan tempat kejadian iaitu rumah pangsa pada 9.55 malam dan ketika itu Arnima sudah meninggal dunia.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pagi berikutnya menunjukkan Meraj memandu trak ke premis menjual kelengkapan rumah dan membeli 20 liter asid hidroklorik.
Dia kemudiannya kembali ke premis berkenaan untuk membeli 80 liter lagi asid hidroklorik.
Hasil siasatan, polis mendapati Meraj membunuh Arnima dan cuba untuk membuang mayat wanita itu.
Menurut rekod, pasangan itu berkahwin secara rahsia tanpa dihadiri rakan dan keluarga pada Oktober 2021.
Mereka tinggal bersama di sebuah rumah pangsa dekat pinggir bandar Sydney di Parramatta Utara dan semakin renggang dengan keluarga.
Sumber- Harian Metro |