Serpihan pesawat Jeju Air yang terkeluar dari landasan dan terhempas terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, di Muan, Korea Selatan, 30 Disember 2024. - Foto REUTERS
SEOUL: Kementerian Pengangkutan Korea Selatan hari ini memaklumkan pihaknya berhasrat untuk membina semula sistem keselamatan penerbangan negara dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa baharu bagi meningkatkan keselamatan perjalanan udara susulan dua insiden penerbangan yang berlaku di negara itu dalam tempoh sebulan.
Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan, Baek Won-kuk berkata, kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membina semula sistem ini dari awal bagi mengembalikan kepercayaan penumpang terhadap sistem keselamatan penerbangan negara.
Beliau menegaskan kerajaan akan menjadikan keselamatan penerbangan sebagai satu keutamaan.
Dalam tragedi udara paling buruk dalam sejarah Korea Selatan, sebuah pesawat milik syarikat penerbangan tambang rendah Jeju Air terhempas di Lapangan Terbang Muan pada 29 Disember lalu sehingga mengorbankan 179 daripada 181 penumpang dan anak kapal.
Menurut laporan awal, bangkai itik ditemui dalam kedua-dua enjin pesawat, menunjukkan kemungkinan berlaku pelanggaran burung (bird strike) sebelum nahas.
Pakar menyatakan bahawa kemalangan udara kebanyakannya berpunca daripada pelbagai faktor.
Minggu lalu, sebuah pesawat Air Busan terbakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Busan ketika pesawat syarikat penerbangan tambang rendah itu bersiap sedia untuk berlepas, namun semua yang berada di dalamnya berjaya dikeluarkan dengan selamat.
Menurut Air Busan, kebakaran itu pertama kali dikesan oleh seorang pramugari di dalam ruang bagasi atas di bahagian belakang pesawat.
Siasatan bagi mengenal pasti punca kedua-dua insiden masih berjalan.
Jawatankuasa yang ditubuhkan untuk tempoh 10 minggu itu akan membabitkan pakar dari sektor swasta dan akan meneliti beberapa isu termasuk penyelenggaraan pesawat, kadar penggunaan pesawat oleh syarikat penerbangan tambang rendah, serta pembinaan dan operasi lapangan terbang.
Susulan nahas Jeju Air, di mana pesawat itu melakukan pendaratan mengejut sebelum melanggar tembok konkrit yang menyokong peralatan navigasi di hujung landasan Lapangan Terbang Muan, pihak berkuasa telah mengumumkan pelan pindaan ke atas struktur seumpama di tujuh lapangan terbang di seluruh negara.
|