|
KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dan Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke sepakat berganding bahu bagi membina parti berbilang kaum yang kukuh, stabil, cekap dan bersih, sekali gus menjana sinar harapan baharu buat rakyat.
Kesepakatan itu jelas kelihatan menerusi satu hantaran di Facebook Kor Ming yang memuat naik gambar beliau menikmati makan malam sempena Tahun Baharu Cina bersama Loke dalam satu pertemuan malam tadi.
Hantaran itu berserta kapsyen dalam bahasa Melayu dan Cina, memperlihatkan mesej politik yang jelas bahawa keduanya kekal sehaluan.
Menurut hantaran itu, Kor Ming berkata, meskipun peranan mereka berkembang mengikut masa, ikatan persahabatan antara kedua-duanya tetap tidak goyah dan beliau komited terus menyokong Loke sejak Menteri Pengangkutan itu memegang jawatan sebagai setiausaha agung.
Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga menyifatkan pertemuan berkenaan mengimbas kembali persahabatan kedua pihak yang menjangkaui lebih 20 tahun sejak beliau menamatkan pengajian di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya pada 1997 dan Loke yang menyempurnakan kursus ijazah dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
"Yang saling berubah (ialah) jawatan, yang kekal sama pula adalah persahabatan sejati dan semangat setia kawan kita berdua. Sehati, senada, sejiwa," katanya.
Kor Ming juga menjelaskan, ketika makan malam semalam, beliau dan Loke mencapai kata sepakat untuk berganding bahu membina DAP ke arah lebih stabil, baik dan kukuh.
"Kami juga berazam menjadikan DAP pilihan popular masyarakat berbilang kaum Malaysia.
"Sehubungan itu, kami juga bersetuju akan cekal terus membantu kerajaan perpaduan merealisasikan aspirasi Malaysia Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Era keemasan kebangkitan Malaysia kini sudah tiba, misi negara memerlukan usaha keringat setiap kita.
"Perpaduan, kestabilan, keharmonian dan kemakmuran negara wajib kita bela dan jaga bersama," katanya.
Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi dan komen termasuk daripada beberapa pemimpin utama DAP seperti Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Kuching, Kelvin Yii serta beberapa lagi.
DAP tidak lama lagi akan mengadakan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), yang dijangka berlangsung 16 Mac ini.
Melalui sistem pemilihan parti, perwakilan akan terlebih dahulu memilih 30 ahli untuk menyertai CEC sebelum anggota badan berkenaan menentukan jawatan kepemimpinan utama.
Sumber : Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
Rate
-
1
View Rating Log
-
|