CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 30553|Reply: 8

Kau ni apa? Kau tinggal sini ke?

[Copy link]
Post time 25-2-2025 06:51 PM From the mobile phone | Show all posts |Read mode
9.30 malam. Lagi 30 minit tamatlah sesi kerja lebih masa (OT) aku di hospital ni. Hari ini merupakan hari ke tiga aku OT berturut-turut. Kisah ini berlaku di penghujung tahun 2019, ketika Covid-19 baru-baru sahaja nak menjengah Malaysia.

    "Daus, kau kemas apa yang patut sebelum orang kerja malam sampai, aku gerak dulu, lemau sangat dah ni," ujarku lemah kepada rakan sekerja.

     "Hah, yelah, gerak la dulu, tapi jangan lupa minggu depan kau ganti OT aku ye?"

      "Hmm...."

Memang begitulah rutin aku kerja disini, sapu OT orang sebab nak kumpul duit lebih. Aku baru sahaja beberapa bulan mendirikan rumah tangga. Isteri aku pun kerja di hospital sama, tapi lain jawatan.

      Kebetulan hari tu, aku dan isteri tamat kerja waktu sama, 10.00 malam. Jadi bila dapat gerak awal, dapatlah aku  rehat dalam kereta sekejap sebelum memandu pulang. Selepas beli air tin di kedai 24 jam berdekatan, aku parking kereta sebelah bangunan isteri aku bertugas.

      Teeettt...teeeetttt....!

Bunyi penggera dalam telefon mengejutkan aku dari tidur-tidur ayam. Entah masa bila aku terlelap, mujurlah dah aturkan penggera pada pukul 9.58 malam. Selepas betulkan kerusi, aku meluncur ke depan lobi bangunan isteri aku bertugas. Di pintu lobi bangunan ini, ada mesin imbas jari, jadi aku keluar imbaskan jari. Biasanya pukul 10.00 tepat, isteri aku dah tunggu kat pintu lobi, tapi ini dah masuk 5 minit, mana dia?

      Aku kembali ke dalam kereta, baru sahaja aku nak capai telefon, pintu kereta aku diketuk. Isteri aku dah berdiri  disebelah pintu penumpang. Tanpa fikir panjang, aku buka kunci pintu.

      "Ingatkan sayang belum habis kerja, abang baru je nak telefon." Aku cuba menceriakan suasana sebab aku perasan dia macam tergesa-gesa nak masuk kereta. Isteri aku ni duduk tanpa membalas teguran tadi. Mungkin emosi tidak stabil, maklumlah kerja di hospital ada macam-macam tekanan, dari pesakit, dari rakan sekerja, ataupun dari penyelia (orang atasan). Suasana ni dah normal untuk aku, kebanyakan masa, dia ceria. Ada sekali dua, muram durja.

       Aku terus memandu pulang, lagi cepat sampai lagi bagus. Dalam perjalanan, dia diam saja. Segala persoalan aku tidak dijawabnya. Ketika kepala aku turut kusut memikirkan cara nak pujuk atau ambil hati isteri aku ni, perhatian aku beralih kepada radio dalam kereta ni. Ya, dari tadi radio ni pelik.

Alunan mendayu-dayu lagu klasik 70an - 80an kedengaran. Setahu aku, siaran radio aku biasa dengar sama ada Era fm atau Hotfm. "Mana datang pulak radio Klasik fm tiba-tiba?"

      Yang lagi menghairankan, kedengaran juga suara isteri aku menyanyi secara 'humming', mengikut alunan melodi lagu klasik itu. Pada aku, tak kisahlah, asalkan awak bahagia sudah.

      Alunan lagu klasik itu berlarutan sepanjang jalan. Dah macam lagu 'medley', bersambung-sambung. Makin lama makin seram dengar 'humming' isteri aku sebab bunyi dia seperti 'humming' sambil tersengih. Macam mana bunyinya? Korang cuba humming sambil tersengih. Haa, macam tu lah.

      "Sayang lapar tak? Nak singgah bungkus makan dulu ke?"

      "........,"

      "Nak balik..," balas isteriku dengan nada sedikit ceria tanpa menoleh ke arahku. Aku masih lagi berfikiran positif masa ni. Kereta dipandu lebih laju bila melepasi lampu isyarat terakhir sebelum sampai ke rumah. Dalam hati aku, "Cepatlah sampai rumah, makin pelik dah bini aku ni.."

      Tiba sahaja depan pagar rumah, aku turun kereta untuk buka pagar manual ni. Kawasan depan rumah aku agak malap, cuma ada lampu jalan yang warna oren tu. Biasanya jiran sebelah buka lampu luar rumah, teranglah sedikit. Tapi malam tu, kiri kanan semua rumah bergelap.

Ketika aku nak berpaling ke arah kereta, sekali imbas aku tengok isteriku macam berbaju lain, bukan seragam hospital, tapi macam pakai baju kurung merah pudar. Aku kecilkan mata sambil bergerak menghampiri kereta barulah kelihatan isteri aku seperti asal, berbaju seragam hospital. Mungkin biasan cahaya lampu jalan.

       Bila selesai masuk parking, dia tergesa-gesa keluar, biasanya dia akan buka pintu rumah dan aku tutupkan pagar. Kunci rumah aku letak dalam 'dashboard'. Dia buka pintu grill, pintu rumah dan terus masuk tanpa buka lampu ruang tamu.

Sakit perut ke?

Aku berandaian sambil membuka pintu kereta. Sebaik sahaja langkah sebelah kaki keluar kereta, aku dikejutkan dengan bunyi deringan telefon. Bunyi deringan yang sangat aku kenal kerana aku dah tetapkan satu bunyi khas untuk isteri aku. Kalau bunyi je irama ni, sah isteri aku telefon.

"Dah kenapa telefon, padahal dalam rumah je," persoalan mula timbul.

Namun aku layankan sahaja, mungkin dia masuk tandas, lupa bawa tuala.

      "Abang kat mana tu, banyak kali sayang call tak dapat, 5 minit lagi sayang keluar. Sayang tunggu kat tempat biasa tau."

Terdiam aku seribu bahasa.

Apa yang dah jadi sebenarnya?

      "Ok ok, kat kedai ni minum air, jap lagi abang sampai," jawabku ringkas. Cuba meneutralkan keadaan. Lebih tepat, neutralkan perasaan aku sendiri. Selepas tamatkan panggilan, aku perasan ada 4 'misscall' diiringi 2 mesej WhatsApp berbunyi,

       "Abang pergi la mana-mana dulu, sayang tak habis kerja lagi ni, ada emergency ."

       "Dah siap nanti sayang call."

Dua mesej ni dihantar pukul 9.50 malam. Eh?

Belum sempat aku hadamkan misteri baru ni, aku teringat yang aku dah bawa 'isteri' aku ni balik dan 'dia' dah pun masuk dalam rumah.

        Masa ni segala kisah seram, teori paranormal, teori konspirasi, hukum fizik semua berlegar dalam otak aku ni. Cuba mencari rasional disebalik kejadian ni dan lebih-lebih lagi mencari cara nak selesaikannya.

Aku masih kaku dalam posisi tangan kiri pegang steering, kaki kanan langkah keluar, siku tahan pintu dan tangan pegang telefon. Pandangan aku pula masa tu terarah ke dinding rumah jiran. Pandangan kosong. Hanya otak ligat berputar.

        Setelah beberapa ketika kaku begitu, akhirnya sel-sel otak aku mula bersambung. Aku dah faham.

"Yang aku bawa balik tadi, bukan isteri aku!"

Tapi kalau sebaliknya? Entah-entah dalam rumah tu isteri aku, yang telefon tadi tu hantu?

Ah sudah, kepala dah 'jammed'. Ada satu cara nak dapatkan kepastian - pergi tengok siapa dalam rumah tu.

Aku berpaling muka kearah pintu rumah.

Hah?!

Terkejut aku bila tengok pintu rumah beserta grill besi tu elok je berkunci. Tadi dah dibuka si 'dia', siap dengan bunyi lagi.

       "Tenang Zif, tenang. Sekarang apa yang kau dah faham?" monolog dalaman aku mula beraksi.

Apa yang aku faham? Sekarang yang aku faham, aku dah bawa balik hantu!

         Terlintas dalam otak aku kisah-kisah orang tua berkenaan hantu tumpang. Kalau tak silap kena bawa balik benda tu ke tempat asal tadi. Kalau tak, benda tu akan jadi housemate baru korang.

Adusss, nak kena cakap pulak dengan hantu ni, kang dia jawab, tak pasal-pasal aku pulak pitam. Aku dah buntu.

       "Errr...kepada yang tumpang tadi, meh saya hantar balik, sini bukan tempat awak..."

         Wah, dengan hantu boleh pula ber 'saya' 'awak' ye? Habis saja ucapan yang aku sendiri tak pasti betul ke tidak, aku terus masuk kereta, hidupkan enjin. Ketika itu aku berasa ada benda lain turut masuk ke dalam kereta. Terasa kereta terhenjut sedikit, seperti ada orang bertubuh besar baru duduk atas kerusi kereta. Aku harus kuatkan semangat.

Kereta dipandu seperti biasa, seolah-olah tiada apa berlaku. Oh ya, radio ketika ini dah kembali normal, kedengaran lagu Donde-donde memecah suasana 'awkward' ini. Ye lah, aku berdua dengan hantu kat sebelah, tak ke janggal?

      Pada saat ini, otak aku yang dah bersambung sel-selnya mula mengingati kembali apa yang dah berlaku dari awal. Ada beberapa kejadian aneh yang aku tak endahkan pada mulanya.

      Pertama, ketika isteriku ketuk tingkap kereta, dia berdiri rapat dengan pintu, aku sebenarnya tidak nampak mukanya cuma dari pakaian, aku cam itulah isteriku. Biasanya dia berdiri jauh sedikit, kadang-kadang dia tunduk menyapa aku sebelum masuk kereta.

       Kedua, 'dia' duduk secara tegak atas kerusi kereta tanpa bersandar, sedangkan kerusi itu sedia ada dicondongkan sedikit. Aku perasan pada awalnya, tapi aku anggap tidak ada yang pelik, namun sekarang tafsirannya dah berubah.

       Ketiga, yang paling seram, berkenaan 'humming'. Sejujurnya ketika aku mengamati lagu apa yang dia ikut itu, aku cukup yakin yang bunyi itu bukanlah keluar dari mulutnya. Bunyi itu datang dari tempat duduk belakang. Seolah ada seorang dibelakang isteri aku, sedang menjengah kepala ke kerusi depan sambil 'humming'. Sama lah ketika 'dia' jawab, "nak balik.." Namun ketika itu aku anggap mungkin gema atau pantulan bunyi. Sedikit pun tidak terasa seram.

       Sekarang, segala bulu badan aku terpacak meremang, peluh mula membasahi dahi dan baju. Aku cuba sibukkan hati dengan zikir Lailahaillallah, supaya tak lagi terfikir kisah seram tu. Sambil berdoa juga, agar hantu kat sebelah ni tak ajak borak.

       Dari rumah ke hospital, aku perlu melalui 5 lampu isyarat, 3 daripadanya aku langgar sahaja kerana tiada cctv. Aku perlu cepat, risau isteri sebenar pula naik hantu sebab lambat ambil. Sampai sahaja di simpang masuk hospital, aku buka sedikit tingkap.

       "Kepada yang menumpang, sila turun dan jangan ikut aku lagi."

Sunyi.

Tiada sebarang reaksi.

Dah keluar ke belum? Tangan aku perlahan-lahan menekan skrin radio, menukar siaran ke radio IKIM. Kenapa dari tadi aku tidak terfikir nak buka radio ni? Ngam-ngam IKIM pasang bacaan surah. Badan aku mula rasa ringan, tiada lagi rasa takut.

Aku terus ambil isteriku dekat tempat yang sama. Kali ni aku tengok betul-betul muka dia sebelum buka kunci pintu. Perjalanan balik aman tanpa sebarang gangguan dan aku tidak menceritakan kepada dia tentang kejadian seram tadi.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 26-2-2025 12:55 PM | Show all posts
nasib baik jenis hantu dengar cakap
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-2-2025 09:08 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by Zif.Ahne at 26-2-2025 09:09 PM
biskutsusu replied at 26-2-2025 12:55 PM
nasib baik jenis hantu dengar cakap


tau xpe
Reply

Use magic Report

Post time 27-2-2025 05:41 PM | Show all posts
ni mcm kes kawan aku la. kawan aku ni boyfriend die ada deria ke6 tu. satu malam tu kawan aku baru habis kelas malam so bf die dtg la amek naik kereta. diorg masa nak balik tu tetiba BF dia pusing balik ke fakulti tu, pastu bukak pintu belakang, tutup balik dan dia drive la dari situ.  kawan aku tny la apsal BF dia cakap esok dia citer. esok tu baru BF dia cakap sbnrnye malam semlm tu ada hantu budak lelaki kecik menumpang kt seat belakang. die tak perasan sbb budak kecik kan, so semlm tu BF dia hantar balik la ke tempat asal
Reply

Use magic Report

Post time 28-2-2025 12:38 AM From the mobile phone | Show all posts
Edited by EriaDoritis at 28-2-2025 12:43 AM

Uiii berani nya hantar balik sorang²

Xde sambungan lagi ke?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-2-2025 09:57 PM From the mobile phone | Show all posts
annehuda replied at 27-2-2025 05:41 PM
ni mcm kes kawan aku la. kawan aku ni boyfriend die ada deria ke6 tu. satu malam tu kawan aku baru h ...

bdk tu x ckp pape ke mase tumpang?
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 28-2-2025 10:02 PM From the mobile phone | Show all posts
EriaDoritis replied at 28-2-2025 12:38 AM
Uiii berani nya hantar balik sorang²

Xde sambungan lagi ke?

terpaksa hantar..huhu, 2 3 hari lepas tu aku ada sembang dgn guard yg biasa jaga bangunan tu..katanya 1st time dia dgr pasal kes tumpang, sebelum ni pernah nampak kelibat² je..
Reply

Use magic Report

Post time 1-3-2025 07:24 PM From the mobile phone | Show all posts
Zif.Ahne replied at 28-2-2025 10:02 PM
terpaksa hantar..huhu, 2 3 hari lepas tu aku ada sembang dgn guard yg biasa jaga bangunan tu..kata ...

Tapi tak mustahil sebab tu kawasan hospital. Mcm² ada cuma ada dengan xde je 'rezeki' nak jumpa
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 3-3-2025 09:42 AM | Show all posts
Zif.Ahne replied at 28-2-2025 09:57 PM
bdk tu x ckp pape ke mase tumpang?

wallahualam noks tapi mungkin la kot mcm dlm kes ni, makhluk tu senyap je
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-3-2025 03:19 PM GMT+8 , Processed in 0.096910 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list