|
Sejak akhir tahun lalu, tidak habis-habis Aprena Manrose dihambat kontroversi berhubung pemakaian hijab, gara-gara tersebar foto dimuat naik sepupunya, Nelydia Senrose, yang antara lain memperlihatkan dia bermain badminton bersama keluarga, tanpa menutup rambut.
Ada hantaran lain menampakkan Aprena memakai topi dan jaket dilengkapi penutup kepala atau 'hoddie' ketika bersantai, lantas, mencetuskan spekulasi apakah dia perlahan-lahan mahu kembali kepada imej asal, iaitu tidak berhijab.
Sebelum ini, selain Nelydia, seorang lagi sepupu Aprena, iaitu Uqasha Senrose tidak lagi menyarung hijab.
Bagi Aprena, dia diam membisu dan enggan 'melayan' kritikan peminat terhadap isu berkenaan selama ini.
"Dosa dan pahala bagi saya adalah sesuatu yang terlalu peribadi. Saya juga manusia biasa dan hamba Allah, sama seperti orang di luar sana.
"Setiap orang ada perjuangan masing-masing. Tetapi mungkin kerana orang kenal saya, jadi perkara itu dijadikan isu.
"Kalau anda nampak orang yang berkelakuan tidak baik, apakah anda akan beritahu orang itu?
"Anda hanya perlu doakan yang terbaik dan semoga dia dapat hidayah," katanya.
Aprena mengakui ada masanya hati berbolak-balik dan meminta semua pihak doakan yang terbaik untuknya.
"Saya harap pengikut yang masih sayang doakan yang baik untuk saya. Apa yang baik juga akan berbalik kepada mereka.
"Saya agak terkilan apabila ada yang kata 'oh patutlah tak dapat anak, sebab tak pakai tudung'.
"Bagi saya, tidak perlulah beri komen sedemikian sebab tidak ada kena mengena," katanya.
Mula mencipta nama selepas membawa watak antagonis, Suraya dalam drama slot Akasia TV3, Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin pada 2017, Aprena berkata, dia masih dalam fasa belajar.
"Kadang-kadang, susah hendak seimbangkan perangai dan imej bertudung.
"Perwatakan saya agar kasar. Jadi, ada masanya, saya terlupa yang saya sudah berhijab hingga tunjukkan sikap-sikap yang tidak sepatutnya terutama untuk kandungan TikTok," katanya.
Aprena adalah anak kepada Iwan Syahman yang juga penyanyi dangdut popular era 1990-an dan ibunya, Allahyarham Rosnah Mohd Noor, iaitu pelakon era 1980-an.
Sumber: Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|