View: 25979|Reply: 0
|
[Budaya]
Magis keris Melayu
[Copy link]
|
|
TANJUNG MALIM: Budaya berkeris dan Melayu satu ketika dulu sangat sinonim hinggakan di dalam Hikayat Abdullah ada tercatat kata-kata Sultan Hussein kepada Stamford Raffles, "...inilah pusaka raja-raja Melayu yang tidak boleh tidak. Ada pun jikalau tiada bersenjata itu seperti orang yang tiada berkain rasanya,"
Bagaimanapun, adat, adab malah jenis keris di alam Melayu berbeza mengikut faktor kedaerahan dan kumpulan etnik. Misalnya keris Semenanjung memiliki pelbagai jenis berdasarkan morfologi atau bentuknya malah setiap negeri di Tanah Melayu mempunyai keris tersendiri yang berfungsi sebagai pengenalan diri si pemakai.
Penghimpun keris yang juga pensyarah kanan di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Maulana Al-Fin Che Man, berkata secara umum terdapat 18 jenis keris di alam Melayu.
Ia dikenali sebagai Keris Semenanjung, Sempena, Tok Chu, Beko, Pandai Saras, Melela, Debek, Cerita (Charita), Sepukal, Panjang, Bugis, Jawa, Sumatera, Madura, Pattani (Tanjung), Bali, Sajen dan Picit.
"Keris Semenanjung merujuk kepada keris-keris yang digunakan secara meluas di Semenanjung Tanah Melayu.
"Setiap keris ini berbeza misalnya antara keris Jawa dan Melayu, dan ia mudah dikenal," katanya.
Tambah Maulana Al-Fin, bentuk morfologi sarung keris dan mata keris Jawa dan Melayu juga berbeza.
Malah katanya, kalau dilihat daripada gaya berkeris dua kumpulan etnik itu juga tidak sama, kerana orang lelaki Melayu jika lengkap berbusana dan bertanjak, mereka akan membawa dua bilah keris.
"Satu ialah keris selit dan satu lagi adalah keris tarung. Keris selit ialah keris yang lebih pendek dan disisipkan di pinggang pada kain samping.
"Pemakaian kain samping ini pula dikenakan dengan bengkung dan pending bagi golongan bangsawan. Keris tarung atau keris kuasa iaitu keris yang lebih panjang pula dipegang di tangan," katanya.
Keris dalam budaya Jawa pula katanya, disebut sebagai 'wangkingan' bermaksud keris yang dipakai bersama 'warangka' (sarung), dan selalunya disandang di bahagian belakang pinggang.
Selain itu katanya, walaupun secara umum semua keris terlihat serupa tetapi bilangan luk pada bilah keris membawa maksud tersirat siapa pemiliknya.
"Misalnya keris luk tiga ditempa khusus untuk panglima atau pendekar, keris luk lima membawa ciri kepetahan si pemiliknya, manakala keris luk tujuh melambangkan kewibawaan dan karisma dalam pemerintahan.
"Biasanya jika keris berluk sembilan ia menggambarkan si pemiliknya bijaksana dan terbabit dengan kepimpinan, manakala keris luk 11 menunjukkan pemiliknya mempunyai cita-cita tinggi dalam kemajuan ekonomi dan sosial.
"Ada juga keris yang mempunyai 13 luk, bermaksud pemiliknya berani mati dan sanggup mempertahankan apa sahaja miliknya daripada dirampas," katanya.
Maulana Al-Fin berkata, pengetahuannya mengenai keris bermula dengan minat kerana dipengaruhi ayahnya yang selalu bercerita mengenai senjata itu selain mewarisi keris pusaka daripada datuknya, Che Ali.
Sejak itu katanya, dia mula mengambil tahu mengenai keris dan sehingga kini, Maulana Al-Fin sudah memiliki 35 bilah keris.
"Keris yang paling 'mahal' dalam koleksi saya adalah sebilah keris pusaka berusia lebih 100 tahun dan diwarisi daripada moyang yang berasal dari Pattani.
"Keris itu dihasilkan lewat kurun ke-18, dan ia diwarisi oleh datuk yang kemudiannya merantau ke Perlis.
"Hari ini keris itu masih elok, cuma saya sudah memberikannya pakaian baharu," katanya.
Maulana Al-Fin berkata, selain bilah keris, beliau turut tertarik dengan pakaian (hulu dan sarung keris) serta corak juga ukiran yang ada padanya.
Katanya, kehalusan ukiran pada pakaian keris adalah testimoni orang Melayu adalah bangsa yang sangat teliti, rajin dan tinggi kemahirannya.
"Ia tidak ada kaitan dengan jin atau hal-hal khurafat sebaliknya pembuatan keris adalah teknologi dan kearifan tempatan orang Melayu.
"Sama juga dengan kemampuan untuk mendirikan keris, ia hanya memerlukan titik keseimbangan yang ada pada keris bagi membuatkannya berdiri," katanya.
Sumber: BH Online
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|