Ditanya juga sama ada dia dipilih untuk watak hero itu kerana 'kroni', Shahz berkata, dia tidak pasti mengenainya, namun apa yang penting dan utama adalah menjaga disiplin diri.
"Ada kabel (kroni) atau tidak, itu saya tak pasti. Tapi, nombor satu kita kena jaga disiplin diri. Kedua, teruskan 'humble' (merendah diri) dan beri komitmen 100 peratus pada kerja walaupun watak diberikan itu kecil.
"Selain itu, penampilan diri juga kena dijaga untuk dapatkan watak hero. Sebab betul, kalau badan besar sangat tak dapat 'job'. Ini jujur saya cakap," katanya ketawa.
Bapa tiga anak ini berkata, atas sebab itu dia melakukan inisiatif dengan transformasi diri memastikan berat badan turun dan kekal kurus yang ideal mengikut kehendak industri tempatan.
"Kebanyakan pihak produksi yang hubungi saya untuk tawaran watak mesti akan tanya (berat badan), Shahz besar ke kecil?. Jadi, ia beri tekanan juga sebenarnya sebab saya suka makan.
"Tapi, saya sedar lumrah sebagai selebriti dalam industri Malaysia ini yang memerlukan kita bertubuh kecil. Sebab kita tak ada watak berbeza sebagaimana cerita-cerita di luar negara untuk mereka (pelakon) bertubuh besar.
"Jadi, 'market' pelakon di Malaysia ini kena nampak penampilan itu sentiasa kacak. Inilah hakikat yang perlu diterima walaupun saya sekarang dah berumur 37 tahun. Tapi, saya kena tetap nampak muda," katanya.
Ujar pelakon filem Azura 2012 itu, dia yang kini mempunyai berat badan 74 kilogram daripada 88 kilogram sangat menjaga pemakanan harian, sentiasa bersenam dan mempunyai doktor peribadi untuk penjagaan kesihatan dan rawatan kulit.