
Asfia ditemui media selepas Syarahan Perdana beliau pada Persidangan Mahkamah Terbuka Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak (OSLYS) 2026. - Gambar UKAS
KUCHING: Mahkamah Bumiputera di Sarawak mempunyai peranan dan bidang kuasa tersendiri yang berbeza dengan autoriti mahkamah lain, khususnya dari segi sumber kuasa perundangan dan kedudukannya dalam sistem kehakiman negara.
Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) melaporkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, Mahkamah Bumiputera atau Native Court ditubuhkan di bawah undang-undang negeri melalui ordinan dan tertakluk kepada kelulusan DUN.
Menurut beliau, keadaan tersebut berbeza dengan Mahkamah Syariah yang memperoleh kuasa dan autoritinya daripada Perlembagaan Persekutuan, sekali gus meletakkan kedudukannya setara dengan Mahkamah Sivil.
"Mahkamah Bumiputera mempunyai kuasa terhadap adat istiadat dan tanah adat, namun tidak berada pada kedudukan yang sama dengan Mahkamah Syariah dari segi perundangan dan bidang kuasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Syarahan Perdana beliau pada Persidangan Mahkamah Terbuka Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak (OSLYS) 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Terdahulu ketika menyampaikan syarahannya Asfia berkata, terdapat pihak daripada kaum-kaum lain yang menyuarakan hasrat supaya Mahkamah Adat Istiadat mereka dinaik taraf dan disetarakan dengan Mahkamah Syariah namun bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.
Jelasnya, Perlembagaan Malaysia tidak memperuntukkan kewujudan mahkamah-mahkamah adat istiadat lain setaraf dengan Mahkamah Syariah.
"Daripada itu undang-undang Islam, adat hukum mahupun adat istiadat lain tidak mempunyai kuasa ini yang diberi oleh Yang di-Pertuan Agong ataupun daripada Perlembagaan Malaysia," ujarnya.
Penjelasan ini katanya, penting bagi memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai struktur dan hierarki sistem kehakiman di Sarawak serta batasan perundangan yang membezakan peranan Mahkamah Adat dengan mahkamah-mahkamah lain.
|