SAMPEL yang di ambil untuk dilakukan ujian oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan. FOTO ihsan Pejabat Exco
Port Dickson: Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) mengarahkan sebuah premis mengambil tindakan segera bagi mencegah pelepasan cecair tercemar tidak terolah yang mengalir ke sungai.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, ia susulan aduan awam berhubung pelepasan cecair tercemar berasal dari Tapak Pelupusan Sampah (TPS) Ladang Tanah Merah di sini.
"Pasukan penyiasat JASNS sudah menjalankan pemeriksaan di lokasi. Berlaku pelepasan cecair tidak terolah ke longkang awam seterusnya ke sungai berhampiran," katanya semalam.
Selain itu, katanya, pihak premis juga memaklumkan kemungkinan beban sampah dan hujan sebelum ini menyebabkan tekanan dan penghasilan cecair tercemar yang tinggi.
"Dalam pada itu, sebagai langkah awal pihak premis juga sudah membaiki benting tanah yang pecah untuk mengawal punca pelepasan cecair tercemar.
Veerapan berkata, JASNS juga mengarahkan pihak premis untuk mengambil tindakan pembaikan segera untuk mencegah pelepasan cecai tercemar tidak terolah sepenuhnya.
"Tambahan lagi, pihak premis sudah membentangkan perancangan pada 7 Januari lalu dan JASNS juga mengarahkan untuk membuat pembersihan sisa-sia yang ada sama ada di sungai mahupun longkang.
"Pihak JASNS menyatakan bahawa pemantauan dan pembersihan pelepasan leachate kawasan terlibat akan dibuat termasuk longkang awam dan sungai terhampir diteruskan dari masa ke semasa bagi tujuan pencegahan dan penambahbaikan segera," katanya.
Beliau meminta JASNS berserta agensi yang berkaitan supaya menjalankan pemantauan berkala untuk mengekang aktiviti haram yang boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar.
|