ZUREENA yang hilang deria penglihatan kini hanya mampu berhimpit dalam bilik di sebuah pangsapuri di Sikamat, di sini, untuk berteduh bersama dua anak. FOTO Ahmad Hasbi
Seremban: Ibu tunggal yang hilang deria penglihatan kini hanya mampu berhimpit dalam bilik di sebuah pangsapuri di Sikamat, di sini, untuk berteduh bersama dua anak sejak Ogos tahun lalu.
Sejak bercerai dengan suaminya, wanita itu tidak mempunyai sumber kewangan untuk membayar sewa rumah, menanggung kehidupan seharian dan membesarkan anak-anak yang mana bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.
Lebih membimbangkan apabila dua anaknya yang berusia enam dan 16 tahun menunjukkan simptom disleksia dan tidak bersekolah kerana masalah pembelajaran dan tidak mampu.
Zureena Zulkefli, 40, berkata, mata kanannya kini memang tidak boleh melihat langsung, manakala mata kirinya kabur dan hanya mampu melihat bayang-bayang objek di hadapannya.
Katanya, sejak menyewa di bilik berkenaan pada kadar RM400, dia hanya berkurung di dalam rumah dan keluar ketika ada hal penting dengan ditemani anak berusia 16 tahun.
"Mata saya mula menjadi kabur sejak enam tahun lalu akibat sering disiku bekas suami. Mata saya perlahan-lahan rosak sehingga kini mata kanan tidak nampak langsung.
"Sebelum ini saya menumpang di rumah adik, namun membuat keputusan berpindah kerana tidak mahu menyusahkannya.
"Dia juga mempunyai keluarga sendiri," katanya ketika ditemui di bilik sewanya.
Sehubungan itu, Zureena berharap permohonannya untuk menyewa rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dapat diluluskan segera kerana sewanya yang lebih murah.
Katanya, disebabkan hanya menyewa bilik, dia terpaksa berpisah dengan anak bongsu yang berusia empat dan 18 tahun yang kini dijaga ahli keluarganya.
"Saya membuat permohonan PPR pada Disember lalu dan dimaklumkan perlu menunggu giliran. Saya harap dapat dipercepatkan kerana kasihan melihat anak-anak terpaksa tinggal di bilik yang sempit," katanya.
Bercerita mengenai keadaan matanya, Zureena berkata, doktor memaklumkan saraf mata kanannya sudah mati, manakala penglihatan mata kiri pula semakin merosot.
"Keadaan ini menyebabkan saya tidak mampu bekerja dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.
"Doktor beritahu peluang mata saya untuk pulih sangat tipis, namun jika ada pihak yang sudi membantu rawatan dia sangat berbesar hati kerana saya ingin kembali bekerja demi menyara anak-anak.
"Ketika ini, anak perempuan yang berusia 16 tahun yang banyak membantu untuk keluar bagi urusan harian termasuk membawa saya ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) bagi mendapatkan rawatan susulan," katanya.
Menurutnya, perkara yang lebih membuatnya tidak senang duduk apabila anak lelakinya yang berusia enam tahun belum mampu bercakap dan bakal masuk ke alam persekolahan tahun hadapan.
"Dia menunjukkan simptom disleksia dan jika tidak diognosis dalam masa terdekat, mungkin akan hadapi masalah untuk masuk ke sekolah tahun depan.
"Anak kedua juga tidak bersekolah sejak di tingkatan satu akibat masalah pembelajaran dan juga menunjukkan simptom disleksia serta tidak pernah didiognosis.
Menurutnya, masalah rumah tangga yang berpanjangan sehingga membawa kepada perpisahan dengan suami pada Oktober tahun lalu menjadi punca utama keadaan anak-anaknya tercicir.
Sesiapa yang ingin meringankan beban Zureena boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional atas namanya (0511 2410 0015 5305).
|