Bekalan darah di Hospital Sultanah Aminah (HSA) menunjukkan trend penurunan sejak seminggu lalu. FOTO Facebook HSA
Johor Bahru: Stok darah di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru menunjukkan trend penurunan yang ketara sejak minggu lalu.
Jurucakap pusat pendermaan darah HSA berkata, selain kadar penggunaan yang agak tinggi bagi pesakit, pada Februari ini terdapat beberapa perayaan yang menjadi faktor penyumbang kepada penurunan pendermaan darah dalam kalangan orang ramai iaitu Thaipusam dan Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata, trend penurunan bekalan darah ini dijangka akan berlarutan sehingga Syawal.
Menurutnya, orang ramai diminta tampil menderma darah bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan melebihi daripada paras selamat.
Katanya, bekalan itu perlu bagi menampung keperluan prosedur transfusi darah termasuk kes kemalangan, pembedahan dan sebagainya.
"Setakat ini bekalan semua jenis darah masih berkurangan.
"Bagi HSA dianggarkan 65 peratus penderma darah adalah penderma darah konsisten dalam tempoh dua tahun.
"Jangan tunggu sehingga stok bekalan darah kritikal, satu beg darah anda mampu menyelamatkan tiga nyawa," katanya.
Beliau berkata, orang ramai diminta hadir ke Pusat Pendermaan Darah Statik iaitu di Pusat pendermaan darah HSA di Jalan Mahmoodiah bermula jam 8 hingga 4.30 bagi proses pendermaan darah.
"Bagi kempen derma darah bergerak di sekitar daerah Johor Bahru dan beberapa daerah lain, boleh dapatkan maklumat berkenaan di 'page' kami Jadual Kempen Darah Johor Bahru Penderma boleh datang secara 'walk-in' tanpa perlu temu janji.
"Syarat bagi penderma darah adalah berusia 17 tahun hingga 60 tahun (penderma berumur 17 tahun perlu mendapat tandatangan kebenaran ibu bapa), berat badan 45 kilogram ke atas dan cukup tidur lima jam.
"Penderma juga perlu melepasi saringan ujian hemoglobin dan saringan daripada pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga bakal menyajikan sajian istimewa esok iaitu nasi minyak dan kuih-muih bagi penderma darah di Pusat Pendermaan Darah HSAJB Jalan Mahmoodiah mulai jam 10 pagi sehingga selesai.
|