CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 13224|Reply: 0

[Johor] Buang sampah merata, wanita Indonesia didenda RM500, laksana khidmat masyarakat 6 jam

[Copy link]
Post time 25-1-2026 09:01 AM | Show all posts |Read mode

KHALID Mohamed (kiri) mengiringi seorang wanita warga Indonesia, Anita (tudung biru) dan seorang pekerja kilang warga Bangladesh, Sultan Md (baju kotak). FOTO Najmi Norázam

Johor Bahru: Wanita warga Indonesia menjadi orang pertama di Malaysia didenda dan diperintahkan melakukan khidmat masyarakat oleh mahkamah atas kesalahan membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok dan botol minuman di tempat awam, bukan di dalam tong sampah yang disediakan.

Anita Lukman, 49, yang menjadi Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini didenda sebanyak RM500 dan diperintahkan untuk melakukan khidmat masyarakat selama enam jam dengan tempoh dua jam sehari dan perlu dilaksanakan tidak lebih daripada enam bulan.

Hakim Nor Aziati Jaafar memerintahkan OKS dipenjara 15 hari jika gagal membayar denda berkenaan serta denda antara RM2,000 hingga RM10,000 jika gagal melaksanakan perintah khidmat masyarakat itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok dan botol minuman di tempat awan dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud membuang sisa pepejal berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut, di sini, pada 12.41 tengah malam, 1 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 dan sebagai tambahan suatu perintah khidmat masyarakat maksimum 12 jam, jika sabit kesalahan.

OKS yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda yang ringan kerana sebagai ibu tunggal, dia mempunyai tanggungan dua anak masing-masing berusia lapan dan 15 tahun.

"Saya mengaku memang saya salah dan tidak akan ulangi lagi perbuatan itu. Berilah saya hukuman (khidmat masyarakat), saya buat tetapi denda saya mohon yang paling ringan kerana saya tidak mampu.

"Saya datang sini (Malaysia) hanya tolong-tolong kawan sahaja," katanya.

Pegawai Pendakwa dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Siti Adora Rahtimin kemudiannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang setimpal sebagai satu bentuk pencegahan dan hukuman khidmat masyarakat sebagai satu bentuk pemulihan.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, seorang pekerja kilang warga Bangladesh, Sultan Md, 28, turut dihadapkan ke mahkamah atas perbuatan yang sama iaitu membuang puntung rokok pada 1.27 pagi, di lokasi dan hari yang sama.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadapnya akan dibacakan semula pada 28 Januari depan selepas OKS memohon khidmat jurubahasa Bangladesh.

Sumber : harian metro

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-1-2026 06:18 AM GMT+8 , Processed in 1.181953 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list