KHALID ditemui pemberita di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Najmi Nor’azam
Johor Bahru: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengeluarkan 418 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) atas kesalahan membuang sampah merata-rata sejak 1 Januari lalu hingga semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata, daripada jumlah itu, 315 notis dikeluarkan kepada warga tempatan, manakala 103 membabitkan warga asing.
"Kita sudah mengeluarkan 418 notis dan setakat ini semua notis yang dikeluarkan itu kita dapatkan kelulusan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya secara berperingkat dan kini sudah mendapat izin untuk mendakwa 99 kes.
"Berdasarkan rekod mahkamah, 15 kes akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat," katanya kepada ditemui di pekarangan mahkamah, di sini, hari ini.
Terdahulu, Khalid hadir mendengar prosiding pertuduhan terhadap dua warga asing yang menjadi kes pertama didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Beliau berkata, pendakwaan seterusnya akan berlangsung di Mahkamah Sesyen di Kedah pada 26 Januari depan, diikuti lima kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 Februari depan.
Menurut Khalid, NPK tertinggi dikeluarkan di Kuala Lumpur membabitkan 127 kes, diikuti Kedah dengan 99 kes; Negeri Sembilan (61); Johor (58); Pahang (30) dan Perlis (19).
Sementara itu, mengulas mengenai perintah khidmat masyarakat yang diperuntukkan mengikut Akta 672, Khalid berkata, beberapa kaedah khidmat masyarakat akan ditentukan oleh SWCorp bagi dilaksanakan mereka yang dijatuhkan hukuman.
"Beberapa kaedah akan kita tentukan seperti menyapu sampah, mencuci tandas, mop lantai, memotong rumput dan sebagainya.
"Kaedah ini akan ditentukan bergantung kesesuaian fizikal pesalah, kerana komitmen kami adalah untuk menjaga keselamatan pesalah ketika menjalankan khidmat masyarakat," katanya.
Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilaporkan berkata, pelaksanaan Akta 672 mula berkuat kuasa 1 Januari lalu dengan perintah khidmat masyarakat berkuat kuasa di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pelaksanaannya bertujuan sebagai hukuman untuk menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam.
|