PASUKAN bomba membantu menurunkan mayat operator menara kren yang dilaporkan meninggal dunia ketika sedang bertugas di sebuah tapak projek. FOTO Ihsan Bomba
Johor Bahru: Seorang operator menara kren dilaporkan meninggal dunia ketika sedang bertugas di dalam kren dekat sebuah tapak projek pembinaan Residensi Puncak Austin di Jalan Seri Austin 4 di sini, hari ini.
Muhamad Aliff Ishak, 33, dilaporkan tidak sedarkan diri di atas menara kren sebelum berjaya dibawa turun dan disahkan meninggal dunia.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Noor Azhan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan bagi operasi menurunkan mangsa yang tidak sedarkan diri pada jam 9.51 pagi.
Beliau berkata, setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) yang terdiri daripada 13 anggota di lokasi kejadian, seorang lelaki warga tempatan yang tidak sedarkan diri masih berada di atas menara kren pada ketinggian 45 meter.
"PKO kemudian bertindak menjalankan operasi menurunkan mangsa dengan menggunakan satu bucket stretcher dan set tali selain bantuan peralatan lain untuk membentuk sistem bagi membawa turun mangsa.
"Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut sebelum mangsa disahkan sudah meninggal dunia," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
|