|
PASIR MAS: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dari rumah selama dua hari ditemui lemas di Sungai Kelantan berdekatan Kampung Atas Pinggir, Tendong, di sini, jam 3.40 petang semalam. Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, berkata mayat mangsa yang masih bujang berusia 37 tahun itu dijumpai orang awam sebelum dilaporkan kepada pihak polis melalui panggilan MERS 999. "Anggota bertugas bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Mas ke lokasi dan menaikkan mayat mangsa ke darat dengan bantuan penduduk kampung. "Mayat kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) bagi tujuan bedah siasat bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. Mazlan berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap aspek keselamatan diri masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Jelasnya, orang ramai juga diminta untuk todak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan dan bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas melalui talian 09-7932222.
|