
Tun Wan Junaidi melakukan simbolik Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2026 dan disaksikan Abang Johari (tiga kiri), Toh Puan Fauziah (lima kanan) serta tetamu jemputan lain, pada majlis malam tadi. - Gambar UKAS
KUCHING: Peningkatan hierarki Mahkamah Syariah Sarawak daripada tiga kepada empat peringkat menerusi penubuhan Mahkamah Utama Syariah Sarawak merupakan langkah strategik dalam menambah baik sistem tadbir urus kehakiman syariah di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah tersebut bukan sahaja bertujuan memperkukuh sistem keadilan Syariah, malah memberi keadilan kepada pihak-pihak yang terkesan serta meningkatkan keyakinan masyarakat Islam terhadap institusi kehakiman Syariah.
“Namun, saya berpendapat bahawa peningkatan hierarki ini haruslah diiringi dengan peningkatan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan warga mahkamah syariah.
“Ia dengan penyediaan infrastruktur yang kondusif untuk pelanggan dan kakitangan mahkamah serta pertambahan sumber manusia bagi memastikan sistem kehakiman dapat berfungsi dengan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2026 yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak akan terus memastikan penubuhan dan pelaksanaan Mahkamah Utama Syariah disokong oleh sumber manusia yang berkualiti, latihan berterusan serta kemudahan yang bersesuaian.
Menurutnya, pendekatan tersebut penting bagi membolehkan institusi kehakiman Syariah terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan berintegriti kepada rakyat.
Sementara itu beliau turut menegaskan pelaksanaan perundangan Syariah di Sarawak perlu bergerak seiring dengan hala tuju pembangunan negeri secara menyeluruh selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Abang Johari berucap sempena Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2026. - Gambar UKAS
Katanya ekosistem kehakiman dan perundangan Syariah mempunyai hubungan signifikan dengan agenda pembangunan negeri yang menekankan pembangunan mampan, tadbir urus berintegriti serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Antara teras utama PCDS 2030 ialah keterangkuman sosial bagi memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati manfaat pembangunan ekonomi, sosial dan institusi.
“Pendekatan ini selari dengan prinsip Syariah yang menolak diskriminasi dan penindasan serta menegaskan keadilan untuk semua, khususnya golongan rentan dan terpinggir,” katanya.
Beliau berkata, Mahkamah Syariah berperanan sebagai institusi penting bukan sahaja dalam menguatkuasakan undang-undang, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan sosial masyarakat.
“Perundangan Syariah yang bersifat inklusif menyokong matlamat PCDS 2030 dengan memastikan akses kepada keadilan tidak terhalang oleh kekangan sosioekonomi, ketidakupayaan fizikal, jurang maklumat atau kelemahan prosedur,” ujarnya.
Abang Johari menegaskan, prinsip “no one left behind” yang menjadi pegangan Kerajaan Sarawak turut terpakai dalam memastikan setiap individu memperoleh hak dan keadilan melalui institusi kehakiman Syariah.
“Oleh itu, saya berharap tiada sesiapa yang tercicir dalam mendapatkan hak dan keadilan. Inilah antara prinsip keterangkuman sosial yang ingin kita capai di Sarawak,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau dimaklumkan bahawa Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Sarawak (PPSS) dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak (SAG) sedang dalam proses menggubal Ordinan Profesion Guaman Syarie Sarawak.
Beliau menyambut baik usaha tersebut bagi memastikan profesion guaman syarie dapat dinaik taraf seterusnya menyediakan perkhidmatan guaman Syariah yang lebih berkualiti kepada masyarakat.
|