
MIRI: Semua pihak khususnya pemimpin politik diminta agar lebih berhemah dan saling menghormati dalam membincangkan isu berkaitan makanan dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Timbalan Ketua Cabang PKR P.218 Sibuti Zulhaidah Suboh (gambar) berkata, makanan bukan sekadar keperluan asas, malah berkait rapat dengan kepercayaan, budaya serta sensitiviti peribadi dan komuniti tertentu.
Menurut beliau, sebarang tindakan yang menggunakan isu makanan sebagai bahan provokasi, mempersenda amalan pemakanan komuniti lain atau bercanggah dengan kepercayaan seseorang boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan perpaduan masyarakat.
“Setiap individu dan komuniti mempunyai garis panduan pemakanan tersendiri berdasarkan agama, budaya dan kepercayaan masing-masing.
“Perkara ini perlu dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan amalan pemakanan tidak wajar dijadikan bahan jenaka, cemuhan atau alat untuk memecah-belahkan masyarakat, selain mengingatkan agar stereotaip negatif terhadap mana-mana komuniti dielakkan.
Zulhaidah berkata, semangat hidup bersaudara dan kebersamaan hanya dapat dipupuk sekiranya masyarakat mengamalkan sikap saling menghormati, berkomunikasi secara sopan serta berusaha memahami perbezaan antara satu sama lain.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab menjadikan Sarawak sebagai contoh sebuah masyarakat yang bersatu padu, saling menghargai dan matang dalam mengurus kepelbagaian,” katanya.
Beliau menambah, perpaduan merupakan kekuatan utama yang tidak seharusnya diganggu gugat, dan penghormatan terhadap pilihan makanan sesama masyarakat mencerminkan penghormatan terhadap kemanusiaan serta maruah setiap individu.
|