
Abdul Karim bercakap pada sidang media di pejabatnya, Tingkat 17, Bangunan Baitulmakmur II, Kuching hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa agar perbahasan isu berkaitan babi yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sarawak Datuk Willie Mongin di Dewan Rakyat tidak diperbesar atau dipolitikkan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata, isu sebenar yang dibangkitkan dalam perbahasan tersebut adalah berkaitan masalah penternakan babi di Selangor, bukannya isu sama ada sesuatu kaum atau agama boleh makan daging babi atau tidak.
Beliau menegaskan bahawa babi juga makhluk ciptaan Tuhan dan tidak seharusnya dilabel sebagai binatang keji kerana berbuat demikian seolah-olah mempertikaikan ciptaan Tuhan itu sendiri.
“Saya mahu tegur sedikit, tidak ada isu sebenarnya berkenaan dengan orang bukan Islam makan babi.
“Yang menjadi isu sehingga Sultan Selangor beri pandangan adalah mengenai penternakan babi di Selangor, bukannya berkenaan dengan boleh makan atau tidak, sampai saya dengar dikaitkan dengan belacan dan budu.
“Apabila dikaitkan makan babi busuk, makan budu busuk sudah pasti yang makan itu akan terasa dan saya harap perkara seperti ini tidak diperbesarkan dan tidak perlu dikaitkan dengan rasuah,” katanya yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usawahan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara itu pada sidang media di pejabatnya, Tingkat 17, Bangunan Baitulmakmur II di sini hari ini selesai mesyuarat jawatankuasa Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026.
Kata Abdul Karim lagi, isu rasuah berlaku di mana-mana merentas pelbagai bangsa, Melayu, Cina, Dayak dan tidak ada kena mengena dengan apa yang kita makan.
“Orang Melayu ada rasuah, orang Cina pun ada rasuah, orang Dayak juga ada rasuah. Rasuah berlaku di mana-mana, jangan kaitkan dengan bangsa,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Karim berharap perkara seumpama itu tidak lagi diperbesarkan sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Beliau turut berpendapat kenyataan dalam perbahasan tersebut mungkin disalah tafsir sehingga menimbulkan persepsi negatif sedangkan niat asal adalah untuk membincangkan isu pengurusan dan penempatan ladang ternakan.
|