CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 13155|Reply: 0

[Sarawak] MHIT Asas langkah besar ke arah insurans perubatan lebih mampu milik, mampa

[Copy link]
Post time 25-1-2026 03:06 PM | Show all posts |Read mode


Gambar Parlimen Malaysia

MIRI: Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man (gambar) menyifatkan pemuktamadan konsep Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan Asas (MHIT Asas) sebagai satu pencapaian penting dalam usaha membendung isu kenaikan premium serta memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan negara.

"Saya melihat perkara ini sebagai pencetus kerana buat pertama kalinya, pendekatan yang diumumkan bukan sekadar menyentuh premium, tetapi cuba membaiki ekosistem, ketelusan harga, literasi pengguna, perlindungan asas yang lebih meluas, dan insentif untuk akses kepada golongan kurang bernasib baik,' jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) kelmarin yang memperkenalkan empat inisiatif utama di bawah agenda RESET.

Antaranya adalah penerbitan kertas putih MHIT Asas sebagai pelan standard dan mampu milik, pembangunan alat bantu pengguna, penerbitan kos penanda aras bagi prosedur lazim, serta insentif cukai melalui dana kebajikan hospital swasta.

Menurut Chiew, pendekatan yang diumumkan kali ini tidak hanya tertumpu kepada isu premium semata-mata, sebaliknya menyentuh pembaikan menyeluruh ekosistem termasuk ketelusan harga, peningkatan literasi pengguna, peluasan perlindungan asas dan insentif akses kepada golongan kurang bernasib baik.

Timbalan Menteri Pelancongan, Budaya dan Seni itu merakamkan penghargaan kepada Kerajaan khususnya pimpinan Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia atas keputusan memuktamadkan hala tuju itu  serta menerbitkan kertas putih MHIT Asas.

Penghargaan juga kepada rakan-rakan di KKM termasuk Ahli Parlimen Sibuti dan Timbalan Menteri Luar Negeri Dato Lukanisman Awang Sauni, yang pernah memegang tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Kesihatan dan bersama-sama memacu perbincangan ekosistem ini pada fasa awal.

Berdasarkan pengumuman rasmi, pelaksanaan MHIT Asas akan dibuat secara berfasa, dengan projek rintis disasarkan pada separuh kedua 2026, manakala pelaksanaan penuh dijangka pada awal 2027.

Chiew menjelaskan, MHIT Asas bertujuan menyediakan perlindungan yang bermakna pada premium mampu milik bagi menampung kos penjagaan kesihatan yang tinggi, di samping meluaskan pilihan perlindungan khususnya kepada rakyat yang belum diinsuranskan atau mereka yang ingin menukar pelan sedia ada berikutan pelarasan premium atau perubahan keadaan kewangan.

“Sistem penjagaan kesihatan awam akan terus menyediakan akses sejagat kepada semua rakyat Malaysia. MHIT Asas pula meningkatkan akses kepada pilihan penjagaan kesihatan tambahan bagi mereka yang mampu mendapatkan perlindungan penjagaan kesihatan swasta secara berterusan,” katanya.

Tambah beliau, premium MHIT Asas akan ditetapkan pihak berkuasa berasaskan prinsip aktuari yang mantap serta pendekatan pemeringkatan bagi memastikan kadar yang saksama dan mampu milik, khususnya untuk kumpulan rentan.

Pelan MHIT Asas turut direka sebagai pelan ringkas yang meliputi kebanyakan prosedur lazim. Individu yang memerlukan perlindungan lebih tinggi boleh memilih pelan tambahan yang ditawarkan oleh Institusi Takaful dan Insurans (ITO), dengan manfaat sekurang-kurangnya setara pelan asas serta faedah tambahan mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.

Dalam pada itu, pemegang polisi sedia ada dibenarkan beralih kepada MHIT Asas dengan ITO yang sama tanpa pengunderaitan semula dan tempoh menunggu, dengan maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh ITO masing-masing menjelang pelancaran pelan ini pada 2027.

Mengulas kemungkinan pelbagai pandangan masyarakat terhadap MHIT Asas, Chiew menegaskan bahawa Malaysia kini berada pada peringkat konseptual dan penambahbaikan reka bentuk.

Namun yang paling penting katanya, kerajaan telah secara rasmi mengiktiraf isu kenaikan premium sebagai isu dasar dan bersetuju membangunkan pelan insurans atau takaful perubatan asas yang diselia, dipantau dan dikawal selia oleh pihak berkuasa.

“Daripada asas yang lebih tersusun dan terkawal inilah kita boleh meneruskan libat urus, mengumpul maklum balas dan melakukan penambahbaikan berterusan agar matlamat dasar ini benar-benar tercapai, premium lebih mampu milik, perlindungan lebih luas dan ekosistem penjagaan kesihatan yang mampan untuk rakyat,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-1-2026 09:56 PM GMT+8 , Processed in 0.376096 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list