
Sagah ketika ditemui pemberita, hari ini. - Gambar Chimon Upon
KOTA SAMARAHAN: Pelaksanaan dasar kemasukan murid ke Tahun Satu pada usia enam tahun secara sukarela oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak harus dianggap sebagai satu beban kepada kanak-kanak.
Demikian kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutupan Program Penguasaan Semikonduktor di SMD Semiconductor di La Promenade Mall di sini, hari ini.
Beliau menambah perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana dasar kemasukan ke sekolah pada usia enam tahun telah lama diamalkan sejak zaman pentadbiran British lagi.
“Kalau kita imbas kembali, sejak dahulu lagi kanak-kanak mula bersekolah pada usia enam tahun. Saya sendiri pun masuk sekolah pada usia enam tahun, jadi tidak banyak bezanya dengan sekarang. Cuma persepsi masyarakat sahaja yang menganggap ia seolah-olah satu perubahan besar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Sagah menjelaskan bahawa hal ehwal pendidikan, termasuk dasar umur kemasukan ke sekolah, adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. “Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab menentukan dasar pendidikan, termasuk kemasukan ke prasekolah pada usia lima tahun dan sekolah rendah pada usia enam tahun,” jelasnya.
Justeru, beliau menegaskan kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun adalah selari dengan keperluan semasa dan tidak harus dianggap sebagai satu tekanan kepada kanak-kanak, sebaliknya sebagai satu langkah awal untuk membentuk asas pendidikan dan sosial yang kukuh.
Menurut beliau lagi, dalam konteks masa kini, kanak-kanak sebenarnya sudah terdedah kepada pembelajaran dan persekitaran sosial sejak usia yang sangat muda.
“Pada zaman sekarang, kanak-kanak seawal bayi sudah dihantar ke pusat asuhan dan ‘play school’. Di sana mereka belajar bersosial, bergaul dan bermain melalui aktiviti yang bersifat pendidikan.
“Jadi apabila mereka berusia empat atau lima tahun, mereka sepatutnya sudah bersedia untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah,” ujarnya.
Menyentuh kebimbangan terhadap kanak-kanak di kawasan luar bandar, beliau berkata banyak usaha telah dilaksanakan bagi memastikan akses pendidikan awal dapat dinikmati secara lebih meluas.
“Kita bukan sahaja mempunyai KEMAS, malah Kerajaan Sarawak turut memainkan peranan melalui penubuhan tadika SeDIDIK, termasuk di kawasan luar bandar.
“Sudah tentu tidak semua keadaan dapat dipenuhi sepenuhnya kerana pelbagai faktor, namun saya percaya majoriti kanak-kanak sudah bersedia.
“Ibu bapa bekerja tidak boleh membawa anak-anak ke pejabat. Mereka memerlukan sokongan pihak lain, bukan sekadar menjaga anak, tetapi juga memberi pendedahan awal kepada pendidikan. Ini adalah realiti yang kita hadapi hari ini,” katanya.
|