
Gambar hiasan
KUCHING: Proses persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu dilaksanakan secara adil, telus dan bebas daripada kepentingan politik.
Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (ROSE) berkata ia khasnya susulan keputusan DUN Sarawak untuk meningkatkan jumlah kerusi daripada 82 kepada 99.
ROSE dalam satu kenyataan hari ini mengalu-alukan penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bahawa langkah seterusnya dalam proses berkenaan kini terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Persempadanan semula tersebut mesti mematuhi sepenuhnya peruntukan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, serta mengelakkan amalan gerrymandering dan malapportionment yang boleh menjejaskan prinsip asas demokrasi.
“Berdasarkan anggaran terkini, jumlah pengundi berdaftar di Sarawak dianggarkan sekitar dua juta orang setakat Mei 2025.
“Jika prinsip kesamarataan diaplikasikan, setiap kawasan DUN seharusnya mempunyai kira-kira 20,000 pengundi,” katanya.
Namun begitu, ROSE mengakui keunikan geografi Sarawak yang meliputi keluasan kira-kira 124,450 kilometer persegi, yang memerlukan sedikit kelonggaran dalam pengagihan pengundi antara kawasan bandar dan luar bandar.
Bagaimanapun, ROSE menegaskan bahawa jurang perbezaan bilangan pengundi antara beberapa kawasan sedia ada adalah terlalu besar dan tidak munasabah.
“Sebagai contoh, DUN Gedong mempunyai sekitar 10,000 pengundi, manakala kawasan bandar seperti Senadin mencatat lebih 73,430 pengundi.
“Ini bermakna nilai undi seorang pengundi di Gedong adalah kira-kira tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding pengundi di Senadin, walaupun kedua-duanya hanya memilih seorang wakil rakyat,” menurut ROSE.
ROSE menyifatkan keadaan tersebut sebagai bercanggah dengan prinsip perwakilan yang adil dan setara.
Sehubungan itu, ROSE menggesa supaya keseluruhan peta persempadanan DUN Sarawak dilukis semula menggunakan data pengundi dan penduduk terkini di peringkat Daerah Mengundi (DM), termasuk kemungkinan memecahkan DM sedia ada bagi memastikan agihan pengundi yang lebih seimbang.
Selain itu, ROSE turut menyeru SPR agar mengadakan siri libat urus awam dan jelajah penerangan bagi membolehkan rakyat memberi maklum balas secara langsung terhadap cadangan persempadanan.
Sebagai langkah proaktif, ROSE dengan kerjasama Tindak Malaysia akan menganjurkan siri bengkel pembinaan keupayaan awam bagi memberi pendedahan kepada rakyat dan ahli parti politik mengenai proses persempadanan, hak pengundi serta kaedah mengemukakan bantahan berlandaskan perlembagaan Bengkel tersebut akan diadakan di beberapa lokasi iaitu Bintulu (24 Januari), Kuching (31 Januari), Sibu (7 Februari), Miri (28 Februari), Sri Aman (7 Mac) dan Bau (14 Mac).
|