
Abang Johari (tiga kanan) bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (tiga kiri) serentak melakukan simbolik perasmian Pengoperasian Projek Sambungan Grid Tenaga Sarawak-Sabah pada majlis di SICC di Kota Kinabalu, Sabah hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Projek Sambungan Grid Tenaga Sarawak-Sabah disifatkan sebagai asas penting kepada pembentukan Grid Borneo yang akan menyumbang secara langsung untuk merealisasikan Grid Tenaga ASEAN.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini sekali gus menjadikan Sarawak dan Sabah sebagai penyumbang utama kepada masa depan tenaga mampan di rantau ini.
“Projek sambungan grid ini merupakan penghubung kritikal yang menyediakan tulang belakang fizikal dan operasi kepada rangkaian tenaga serantau.
“Ia sekali gus menunjukkan bagaimana kerjasama di peringkat negeri mampu menyokong keselamatan tenaga dan kemampanan ASEAN,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pengoperasian Projek Sambungan Grid Tenaga Sarawak-Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
Abang Johari berkata, projek sambungan Sarawak-Sabah, merupakan rangkaian tenaga bersepadu di Pulau Borneo yang bakal memperkukuh kebolehpercayaan sistem, meningkatkan integrasi tenaga boleh diperbaharui serta menyokong pertumbuhan ekonomi mampan serantau.
Abang Johari berkata, pengalaman Sarawak dalam kerjasama tenaga rentas sempadan, khususnya eksport elektrik ke Kalimantan Barat sejak 2016, telah menyediakan asas kukuh kepada pelaksanaan projek sambungan grid antara Sarawak dan Sabah.
Menurut beliau, kerjasama tenaga selama hampir sedekad itu telah membuktikan manfaat nyata termasuk peningkatan kebolehpercayaan sistem, penggunaan sumber yang lebih cekap, pengukuhan hubungan rentas sempadan serta pengurangan kebergantungan kepada penjanaan tenaga berintensif karbon.

Abang Johari (kiri) disambut tiba oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bagi merasmikan projek sambungan grid di Sabah, hari ini. - Gambar UKAS
“Pengalaman ini mengukuhkan kefahaman bahawa saling sambung tenaga bukan sekadar projek teknikal, malah merupakan pemangkin strategik kepada pertumbuhan bersama yang mampan,” katanya.
Beliau berkata, projek sambungan grid Sarawak-Sabah adalah selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan, di samping memperkukuh kebolehpercayaan bekalan elektrik di kedua-dua negeri.
Pada masa sama katanya, projek berkenaan menyokong pelaksanaan Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dengan membolehkan perkongsian sumber tenaga boleh diperbaharui, sekali gus menyumbang kepada campuran tenaga serantau yang lebih seimbang dan rendah karbon.
Di peringkat nasional, Abang Johari berkata projek itu turut menyumbang kepada agenda peralihan tenaga Malaysia, memperkukuh keselamatan tenaga negara serta menyokong matlamat jangka panjang yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Mengulas hala tuju seterusnya, beliau berkata Sarawak bersedia memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan tenaga serantau, termasuk perancangan sambungan tenaga dengan Brunei sekitar tahun 2030.
“Selain itu, projek Sarawak-Singapura yang membolehkan eksport sehingga 1 gigawatt tenaga boleh diperbaharui serta kajian kebolehlaksanaan bagi sambungan ke Semenanjung Malaysia.
“Kesemua inisiatif ini akan meletakkan asas kukuh kepada pembentukan Grid Borneo.
“Ia membolehkan perancangan sistem tenaga lebih bersepadu, pengurusan variasi bekalan yang lebih berkesan serta integrasi tenaga boleh diperbaharui pada skala lebih besar, sambil mengekalkan kebolehpercayaan dan daya tahan sistem,” katanya.
|