
Fadillah ketika ditemui media selepas majlis Anugerah Kebangsaan Shell LiveWIRE Malaysia 2025 di Kuching, hari ini. - Gambar Penerangan
KUCHING: Cabaran utama bagi penambahan kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah ialah keperluan mendapat sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof.
Beliau menjelaskan, isu tersebut yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih dalam peringkat perbincangan kerana melibatkan pelbagai aspek termasuk tafsiran perundangan.
“Untuk penambahan kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah, ia menjadi cabaran paling utama disebabkan kalau dipersetujui perlu dibawa ke peringkat Parlimen dan Parlimen kita memerlukan sokongan dua pertiga. Maknanya proses libat urus perlu diadakan.
“Tetapi setakat ini, dari segi dasar dan prinsip, penambahan kerusi ada. Namun sejauh mana tuntutan itu dapat direalisasikan masih bergantung dengan rundingan yang sedang berjalan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis Anugerah Kebangsaan Shell LiveWIRE Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Ditanya mengenai kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Fadillah memaklumkan penambahan 17 kerusi tersebut sudah diluluskan dan tetap perlu dibawa ke peringkat Parlimen untuk dimuktamadkan.
“Bagaimanapun, ia tidak memerlukan dua pertiga sokongan dan perkara ini tidak dilihat sebagai cabaran besar.
“Apa yang mencabar adalah sekiranya kita hendak mendapatkan jumlah kerusi Parlimen lebih daripada 25 peratus, maknanya kita memerlukan dua pertiga sokongan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan cadangan untuk menyusun semula ahli Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) akan diperincikan pada mesyuarat jawatankuasa teknikal yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Menurutnya, perkara itu penting berikutan perubahan komposisi Kabinet yang menyaksikan pelantikan semula Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).
“Jadi, beliau (Datuk Mustapha Sakmud) akan memulakan mesyuarat, kemudian baru dibawa ke peringkat Jawatankuasa Teknikal, sebelum ke Majlis Perundingan di peringkat tertinggi,” katanya.
Untuk rekod, isu autonomi kesihatan Sarawak sebelum ini dibangkitkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dalam mesyuarat jawatankuasa berkaitan MA63, apabila beliau meminta supaya wakil Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan turut dilibatkan bagi membolehkan keputusan dibuat.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa rundingan mengenai autonomi kesihatan seolah-olah berlarutan tanpa keputusan jelas.
|