Edited by Vellfire at 25-1-2026 03:27 PM

Abdul Karim ketika ditemui media selepas merasmikan program ‘Special Talk: Interpreting Borneo in Britain and Sarawak’ hari ini.
KUCHING: Tiada keperluan segera untuk memulangkan artifak Sarawak yang disimpan di muzium di seluruh dunia kerana kehadiran mereka di luar negara membantu memperkenalkan Sarawak dan Borneo kepada masyarakat global, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata, perkara itu sangat bagus ekoran manfaatnya kepada Sarawak dan Borneo dari perspektif global.
“Dunia kini tiada sempadan. Kadang-kadang bagus juga barangan ini tersebar di seluruh dunia kerana pengunjung muzium seperti di British Museum dapat mengetahui tentang Sarawak dan Borneo,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program ‘Special Talk: Interpreting Borneo in Britain and Sarawak’ di Muzium Budaya Borneo (BCM) di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai kira-kira 4,500 koleksi berkaitan Sarawak yang kini berada di luar negara, khususnya di United Kingdom.
Beliau menambah, pemulangan hanya akan dipertimbangkan untuk artifak yang mempunyai kepentingan luar biasa.
“Tiada keperluan sebenar untuk membawa semuanya kembali kecuali jika ia sangat signifikan kepada Sarawak. Jika nilainya amat penting, barulah kita boleh memohon untuk memulangkannya,” jelas beliau.
Abdul Karim turut menjelaskan bahawa kebanyakan artifak yang dipamerkan di luar negara adalah barangan kecil yang telah banyak dikaji, termasuk asal-usulnya.
“Di British Museum dan muzium lain, barangan kebanyakannya kecil dan kajian tentang asal-usul sudah dijalankan. Banyak barangan yang serupa juga boleh dilihat di muzium kita di Sarawak,” katanya.
Terdahulu pada majlis tersebut, Dr Jennifer Morris yang meruopakan Borneo Research Fellow dan Henry Ginsburg, iaitu Curator for Island Southeast Asia di British Museum, berkongsi penyelidikan tentang koleksi Sarawak, khususnya berkaitan dengan Charles Hose, seorang pegawai awam di bawah Charles Brooke, Rajah Sarawak. Menurut Abdul Karim, Morris pernah melawat Sarawak untuk mengkaji artifak dalam konteks tempatan.
“Beliau datang ke Sarawak untuk mengunjungi tempat yang pernah dikunjungi Charles Hose, untuk mengkaji koleksi di British Museum dan tempat lain, serta meneliti makna mendalam artifak ini, bagaimana ia berkaitan dengan sejarah dan komuniti dari mana ia diperoleh,” katanya.
Beliau menambah kajian seperti ini membantu memperdalam pemahaman tentang tamadun Sarawak dan asal-usul pelbagai etniknya.
“Kami sangat bangga kerana penyelidik telah menjalankan kajian mendalam sebegini kerana melalui ini kita dapat memahami dengan lebih baik tamadun kita dan asal usul komuniti di Sarawak,” katanya.
Pembentangan Morris juga mendedahkan bahawa artifak Sarawak tersebar bukan sahaja di United Kingdom tetapi juga di negara seperti Jerman dan Amerika Syarikat. Sehubungan itu, Abdul Karim menekankan keperluan untuk memupuk kepakaran tempatan dalam penyelidikan warisan.
“Kita perlu menghasilkan minat yang lebih mendalam dalam bidang ini di Sarawak supaya kita mempunyai penyelidik dan saintis sendiri yang sanggup menjalankan penyelidikan secara mendalam,” katanya.
Beliau memberitahu kerjasama antarabangsa boleh memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Sarawak untuk menghargai dan mengkaji warisan mereka sendiri.
“Apabila saintis dan penyelidik dari luar menunjukkan kepada kita kepentingan mengkaji dan menghargai warisan sendiri, lebih ramai orang berpendidikan akan berminat dan sanggup meneliti perkara berkaitan tamadun dan khazanah kita,” katanya.
|