CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 12278|Reply: 0

[Sarawak] Warisan budaya dikaji secara teliti rangsang pertumbuhan pelancongan

[Copy link]
Post time 25-1-2026 03:33 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 25-1-2026 03:35 PM



Abdul Karim merakamkan kenangan bersama tetamu kehormat yang lain semasa program 'Special Talk: Interpreting Borneo in Britain and Sarawak' hari ini.

KUCHING: Warisan budaya yang dikaji secara teliti dan ditafsirkan dengan bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan pelancongan, mengukuhkan industri kreatif serta menyokong pembangunan mampan di Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, misalnya inisiatif seperti projek 'Interpreting Borneo in Britain and Sarawak' jelas membuktikan penyelidikan warisan mampu memberi sumbangan langsung kepada agenda pembangunan negeri.

“Dari perspektif Kerajaan Sarawak, usaha sebegini selari dengan agenda pembangunan negeri kita secara keseluruhan.

“Ini kerana budaya dan warisan merupakan elemen penting dalam strategi pelancongan, pembangunan industri kreatif serta komitmen kita terhadap pembangunan mampan.

“Warisan yang dikaji dengan teliti dan ditafsirkan secara bertanggungjawab meningkatkan profil global Sarawak, menarik pelancongan berteraskan budaya, dan mengukuhkan identiti Sarawak sebagai sebuah masyarakat yang pelbagai dan dinamik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena program 'Special Talk: Interpreting Borneo in Britain and Sarawak' yang berlangsung di Auditorium Muzium Budaya Borneo (BCM) di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, peranan muzium kini bukan lagi sekadar tempat menyimpan artifak, malah telah berkembang sebagai ruang dialog, perkongsian ilmu dan pemahaman budaya.

“Di Sarawak, kita menerima perubahan ini secara terbuka. Penubuhan BCM mencerminkan hasrat kita untuk menjadikan Sarawak sebagai pusat serantau bagi penyelidikan, diplomasi budaya dan kerjasama antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai projek 'Interpreting Borneo in Britain and Sarawak,' Abdul Karim berkata projek tersebut amat bermakna kerana ia berpunca daripada penyelidikan yang dimulakan di Sarawak semasa fasa awal pembangunan BCM.

“Ia membuktikan penglibatan akademik yang berterusan boleh berkembang menjadi kerjasama institusi yang lebih kukuh, memberi manfaat kepada muzium, penyelidik, pelajar, komuniti dan orang awam,” katanya.

Abdul Karim turut memaklumkan hubungan antara Jabatan Muzium Sarawak dan Muzium British semakin diperkukuh menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada November 2024.

MoU itu menyediakan kerangka kerjasama dalam bidang penyelidikan, kajian koleksi, pembangunan kapasiti dan perkongsian ilmu, selain mencerminkan komitmen bersama untuk mengurus warisan budaya secara telus, berintegriti dan saling menghormati.

Beliau berkata, kerjasama kedua-dua institusi memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat berkaitan koleksi Charles Hose yang disimpan di Kuching serta beberapa muzium di United Kingdom.

“Usaha ini penting untuk memahami semula konteks sejarah dan budaya bagaimana koleksi ini dikumpul, diperoleh dan dipelihara,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyentuh aktiviti libat urus komuniti projek itu di kawasan Baram tahun lalu yang berjaya menghubungkan semula koleksi muzium dengan komuniti asal.

“Penyelidikan warisan perlu bersifat dua hala, inklusif dan menghormati pengetahuan tempatan serta pengalaman masyarakat setempat,” katanya.

Abdul Karim juga mengalu-alukan kejayaan pendigitalan koleksi fotografi Charles Hose milik Muzium British yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperluas akses kepada bahan warisan.

“Penyediaan bahan ini secara dalam talian menjadi sumber penting untuk penyelidikan masa depan berkaitan sejarah, antropologi dan landskap budaya Sarawak,” katanya.

Beliau yakin program itu akan memperkukuh pemahaman terhadap koleksi Charles Hose serta membuka peluang kerjasama baharu antara Sarawak dan rakan antarabangsa dalam penyelidikan warisan budaya.

Hadir sama ialah wakil Muzium British iaitu Dr Alexandra Green, Kurator S.P. Shaw bagi Asia Tenggara dan Dr Jennifer Morris, Felo Penyelidikan Borneo serta Henry Ginsburg, Kurator bagi Kepulauan Asia Tenggara di Muzium British.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-1-2026 09:56 PM GMT+8 , Processed in 0.158710 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list