
CHRISTINA
KOTA KINABALU: Bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Christina Liew menzahirkan rasa gembira apabila Sabah berjaya mencapai sasaran 3.5 juta ketibaan pelancong yang ditetapkan bagi tahun 2025.
Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil usaha berterusan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) bersama agensi di bawah berkenaan.
Christina berkata, kejayaan itu turut disumbangkan oleh semua pemain industri pelancongan yang giat mempromosikan Kota Kinabalu sebagai bandar gastronomi.
Beliau turut memberi penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit dan pasukannya atas usaha cemerlang memasarkan Sabah sebagai destinasi pelancongan pilihan, sama ada secara fizikal mahupun menerusi platform digital.
“STB konsisten mempromosikan tarikan pelancongan dan perkhidmatan Sabah di peringkat antarabangsa dengan kerjasama agensi kerajaan lain di bawah KePKAS.
“Tahniah kepada semua agensi kerajaan, pihak berkepentingan serta pemain sektor swasta yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sabah ke peringkat global,” katanya dalam kenyataan di sini.
Christina berkata, ketibaan pelancong dari pasaran antarabangsa dan domestik mencatatkan pertumbuhan dua digit berbanding tahun 2024, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi promosi pelancongan negeri.
Mengulas lanjut, beliau optimis Sabah mampu menarik lebih ramai pelancong berikutan Tahun Melawat Malaysia, selain penawaran produk pelancongan baharu serta penambahbaikan kemudahan pelancongan.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai menteri dari 2018 hingga 2020 serta 2023 hingga 2025, Christina mengetuai delegasi KePKAS dan STB ke beberapa negara bagi mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama, termasuk ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Beliau berkata, pada Kongres Dunia Persatuan Kongres dan Konvensyen Antarabangsa (ICCA) ke-63 pada 2024, Sabah diperkenalkan kepada kira-kira 1,500 delegasi dari 78 negara, yang mana ramai mengakui tidak pernah mendengar mengenai Sabah sebelum itu.
Pada 2023, beliau turut melancarkan penjenamaan semula destinasi Sabah dengan slogan ‘Feel Sabah, North Borneo’ pada Pameran Pelancongan ITB Berlin, pameran perdagangan pelancongan terbesar dunia, bersama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar ketika itu, Datuk Joniston Bangkuai.
|