Filem The Voice of Hind Rajab cecah 53,000 tontonan - ZRA
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Januari 25, 2026 @ 7:13pm

Sesi beramah mesra Gema Suara Hind Rajab di utara bersama aktivis kemanusiaan dan penulis terkenal, Zainal Rashid Ahmad (ZRA) di Sunway Carnival Mall, hari ini. - Foto NSTP/Auris Faqrurazzi
BUTTERWORTH: Filem The Voice of Hind Rajab terus menerima sambutan hangat rakyat Malaysia apabila mencecah 53,000 tontonan selepas 17 hari ditayangkan hari sejak 8 Januari lalu.
Aktivis kemanusiaan yang menjadi suara kempen filem berkenaan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA), berkata pencapaian itu membuktikan naskhah itu mampu menyampaikan mesej perjuangan Palestin kepada segenap lapisan masyarakat dalam perspektif lebih mendalam dan berkesan.
"Hind Rajab menjadi simbol yang sangat penting untuk kita tahu bahawa filem ini walaupun ia kisah mengenai kematian seorang kanak-kanak tetapi secara luasnya ia mengingatkan kita bahawa inilah tanah yang kita perjuangkan untuk mengembalikan tanah Palestin kepada orang Palestin.
"Kita harap minggu ini jualan tiket akan melepasi 60,000.
Sekiranya pihak pawagam terus yakin rakyat Malaysia akan memberi sokongan, kita berpotensi mengejar 80,000 tontonan," katanya pada kempen Gema Suara Hind Rajab di GSC Sunway Carnival, Seberang Jaya, hari ini.
Katanya sasaran itu bukan bermatlamatkan keuntungan semata-mata, sebaliknya dilihat sebagai kayu ukur dan penanda aras tahap sokongan masyarakat terhadap usaha dakwah dan kesedaran yang ingin dibawa melalui medium pawagam.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang membawa anak-anak mereka menonton filem berkenaan dan menyifatkan usaha itu penting dalam mendidik generasi muda mengenai realiti perjuangan Palestin.
"Ini bukan soal wang tetapi kita mahu lihat berapa banyak sokongan yang boleh diberikan dalam proses kita mendakwahkan filem ini di pawagam kerana tidak semua perkara boleh didakwahkan di pawagam kerana pawagam selalu dikaitkan dengan tempat hiburan.
"Mungkin generasi saya yang lebih berusia tidak sempat menyaksikan sepenuhnya pembebasan Palestin, namun harapan itu kita letakkan kepada generasi muda dan anak-anak yang hadir hari ini apabila kita tiada nanti, merekalah yang akan meneruskan perjuangan ini.
"Kami juga bangga kerana Malaysia menjadi antara 21 negara terawal menayangkan filem ini dan sehingga hari ini, sebanyak 44 negara menayangkannya, termasuk Hong Kong, Korea Selatan, Thailand dan Amerika Syarikat," kata penulis terkenal itu.
Beliau berkata, 2026 menandakan 78 tahun peristiwa hitam Nakba pada 19 Mei 1948 dan 59 tahun pendudukan Tebing Barat, Gaza termasuk Masjid Al-Aqsa di bawah rejim Israel dan menyifatkan kejayaan filem itu sebagai hasil kekuatan gerakan masyarakat sivil antarabangsa yang konsisten memperjuangkan isu Palestin sejak dua dekad lalu.
"Saya selalu menegaskan bahawa hanya ada empat kuasa saja berjuang mengenai perkara ini satu dipanggil kuasa jihad iaitu mereka yang berjuang pada tahun-tahun terdahulu secara 1956, 1967, 1973 dan seterusnya.
"Tapi orang-orang awam di seluruh dunia sama ada Muslim dan bukan Muslim suara gerakan sivil membela Palestin sangat kuat pada 2001 jadi ini adalah tahun ke-26 masyarakat sivil antarabangsa memperjuangkan tanah Palestin.
"Bererti kita kena ingat kalau tiada kuasa masyarakat sivil, pengarahnya pun barangkali tidak fikir menghasilkan filem ini dan tidak mungkin lebih 40 negara menayangkannya," katanya.
Seorang penonton, Syed Mohd Ekhsan Syed Ismail, 39, yang meluangkan masa cuti hujung minggu ke pawagam bersama keluarga tidak menjangka penyampaian filem itu begitu mendalam sehingga membuatkan anak lelakinya yang berusia 11 tahun menangis teresak-esak.
"Kalau kita menghayati betul-betul kisah itu, dengar suara asal arwah (Hind Rajab) memang sedih dan cukup menyentuh emosi walaupun orang kata jalan ceritanya agak perlahan.
Seorang lagi anak saya yang umur empat tahun pun boleh faham jalan ceritanya.
Saya bagi rating lima bintang untuk filem ini," katanya.
Diterbitkan oleh Mime Films dan Tanit Films, filem The Voice of Hind Rajab diarah sutradara tersohor Tunisia, Kaouther Ben Hania dengan dibintangi pelakon antarabangsa seperti Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel dan Clara Khoury.
Filem itu ditayangkan di 51 lokasi pawagam seluruh Malaysia dan Brunei dan sebagai tanda empati dan solidariti, Media Prima Berhad menyumbangkan RM1 bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1501313/filem-voice-hind-rajab-cecah-53000-tontonan-zra
|