Sungai Petani: Mahkamah Kanak-Kanak di sini, hari ini, menangguhkan keputusan kes dua remaja mencederakan seorang pelajar sebuah kolej vokasional November lalu, susulan laporan akhlak yang belum dilengkapkan.
Majistret Mohamad Azlan Basri membuat keputusan itu selepas Pegawai Akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Muda, C Kumareson, memaklumkan mahkamah mengenai status laporan berkenaan.
Berikutan itu, Mohamad Azlan mengarahkan JKM menyiapkan laporan akhlak dua remaja itu terlebih dahulu sebelum menetapkan 24 Februari depan sebagai tarikh mahkamah membuat keputusan.
Media sebelum ini, melaporkan dua remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di sini, atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar sebuah kolej vokasional pada November lalu.
Kedua-dua tertuduh berusia 16 dan 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mendatangkan kecederaan ke atas pelajar lelaki berusia 17 tahun di asrama sebuah kolej vokasional di daerah Kuala Muda kira-kira pukul 12.04 tengah malam, 24 November lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.