Kuala Lumpur: BERSATU menafikan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah cuba campur tangan dalam urusan PAS apabila mencadangkan supaya tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang digugurkan keahlian parti dikekalkan sebagai wakil rakyat walaupun berstatus Bebas.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, cadangan Abu Bakar itu adalah untuk menyelesaikan isu dan masalah pentadbiran berkaitan pengagihan peruntukan kepada rakyat di tiga kawasan DUN terbabit, berikutan pengumuman kekosongan DUN berkenaan oleh Speaker DUN Perlis sebelum ini.
"Dimaklumkan bahawa cadangan ini juga dibuat selepas merujuk Penasihat Undang-Undang Negeri.
Akibat pengumuman kekosongan kerusi DUN oleh Speaker (DUN Perlis sebelum ini), tiga ADUN ini sudah membawa kes ini ke mahkamah.
"Ini menyebabkan kedudukan mereka tergantung sehingga diputuskan oleh mahkamah (kelak)," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang mengingatkan Menteri Besar Perlis supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab mentadbir negeri dan tidak mencampuri urusan parti lain.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, jika difahami, cadangan oleh Menteri Besar Perlis itu adalah harapan kerajaan negeri supaya satu penyelesaian terbaik dapat dicapai bagi memastikan kestabilan politik dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
"Mencadangkan supaya ketiga-tiga ADUN itu diterima semula sebagai ADUN, walaupun berstatus ADUN Bebas kerana mereka masih mempunyai mandat dan hak sebagai wakil rakyat untuk menjaga kebajikan penduduk di kawasan masing-masing.
"Cadangan ini tiada kaitan dengan tindakan PAS terhadap ahli-ahli mereka.
Hal PAS untuk menggugurkan atau memecat ahli mereka adalah urusan PAS.
Cadangan ini adalah bagi menentukan kedudukan tiga ADUN bagi membolehkan mereka berkhidmat kepada rakyat dalam kawasan masing-masing," katanya.
Selain itu, ia juga mencadangkan pendekatan 'menang-menang' dan perbincangan secara 'adik-beradik', iaitu ketiga-tiga ADUN akan menarik balik saman mereka terhadap Speaker, dan Speaker menarik semula keputusan mengenai kekosongan kerusi bagi manfaat rakyat dalam kawasan DUN terbabit.
"Sekiranya cadangan penyelesaian ini tidak dapat dilaksanakan, Menteri Besar akan menubuhkan Pusat Khidmat Menteri Besar di tiga DUN berkenaan bagi membantu rakyat dalam ketiga-tiga kawasan DUN khususnya dari segi penyaluran bantuan dan urusan kebajikan," katanya.
Beliau turut mengingatkan, sebagai pemimpin Islam, lebih baik bertabayyun dan mencari maklumat yang tepat sebelum membuat tuduhan melulu, sekaligus menjauhkan diri dari mendatangkan fitnah.