KUALA SELANGOR - Niat seorang lelaki membantu menarik kereta Perodua Viva rakannya yang terkandas di pesisir Pantai Remis di sini, semalam, tidak kesampaian apabila kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandunya turut tenggelam.
Kesannya hampir lima jam usaha mengeluarkan kenderaan tersebut berikutan keadaan pantai yang bergelora.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Perodua Viva itu berjaya dinaikkan dengan bantuan penduduk kampung yang mengangkat kenderaan tersebut.
Manakala kenderaan milik lelaki itu, terperangkap lebih lima jam berikutan air yang surut mulai pasang merumitkan keadaan.
Seorang saksi, Khairul Nizam Mizan, 36, berkata, pelbagai cara dilakukan untuk mengeluarkan kereta berkenaan tetapi menemui jalan buntu berikutan kenderaan tersebut berat.
“Kami cuba menarik kereta menggunakan tenaga kami dan bantuan kenderaan lain tetapi tidak berjaya.
“Malah ombak yang kuat menyebabkan kereta dimasuki air 70 peratus juga semakin merumitkan keadaan,” katanya. Kenderaan tersebut bagaimanapun berjaya dinaikkan sekitar jam 5 petang selepas air mulai surut.
Difahamkan, sebelum ini kejadian sama pernah berlaku berikutan hakisan pantai sejak setahun lalu.
|