p.timur3831 posted on 2-8-2013 01:35 PM
gambar plz?x knal lh
ni serba ringkas tentang sahara
Kenangan pahit Sahara Yaacob -- Pernikahan dengan anggota al-Arqam tetap jadi sejarah
''I am as hot as the desert, but not as dry.'' Itulah ucapan pertama yang dilontarkan oleh artis sensasi dan kontroversi, Sahara Yaacob ketika memulakan persembahan bersama kumpulannya, di Kelab Malam El Nino, di Jalan Yap Kwan Seng, ibu negara baru-baru ini. Dalam usia 42 tahun, Sahara yang diberi jolokan 'Tina Turner dan Chaka Khan Malaysia' nyata masih bertenaga dan mampu beraksi ligat di pentas.
Membawa gaya yang cukup seksi dan berahi, Sahara atau nama sebenarnya Zaharah Mohd. Yaacob menggunakan sepenuhnya peluang daripada kontrak persembahan setiap Ahad yang diberikan oleh kelab berkenaan kepada beliau. Persembahannya yang penuh dengan 'kejutan' membuatkan peminat setia yang terdiri daripada pelbagai golongan (majoritinya orang putih), tidak hampa dan kecewa 'menggadaikan' masa dan ringgit mereka di kelab berkenaan. Itulah Sahara - penyanyi yang sentiasa 'memanaskan' suasana tetapi tidak pernah kering dengan gaya yang mampu menceriakan setiap peminatnya.
"Seni adalah sebahagian daripada kehidupan saya dan akan sentiasa berakar umbi dalam hati serta sanubari saya. "Saya akan sentiasa mempertahankan seni dalam apa keadaan sekalipun,'' ujar Sahara kepada Mingguan Malaysia. Dengan rambut fesyen ala 'terkena kejutan elektrik', Sahara pernah menggegarkan persada seni tanah air dengan beberapa insiden kontroversi - menyertai al-Arqam pada 1983 dan kecederaan parah akibat ditetak oleh seorang ahli perniagaan, di kawasan hutan Gombak, Kuala Lumpur pada 1992.
Membuka kotak hidupnya secara lebih peribadi, penyanyi bersuara parau ini pernah empat kali berkahwin tetapi semua bahtera yang dilayarinya berakhir dengan kegagalan. Namun perkahwinan ketiganya dengan salah seorang anggota bekas kumpulan al-Arqam yang dikenali sebagai Dr. Nordin Ahmad benar-benar telah menggegarkan persada seni.
Dr. Nordin pernah bertugas sebagai pegawai perubatan di Sekolah Arqam, Kampung Sempadan, Lanchang, Temerloh, Pahang. ''Saya mengenali beliau sekitar tahun 1979, waktu itu dia giat dengan aktiviti dakwah dan kami hanya berkawan... actually, I dont really fall in love with him,'' tutur Sahara lemah lembut. Pada waktu itu, ujar Sahara, dia benar-benar sedang 'mencari' Tuhan dan berusaha mendidik hati serta jiwa untuk pasrah dengan erti 'hidup dan kehidupan'.
Empat tahun berkenalan, Dr. Nordin kemudiannya melamar Sahara dan dengan spontan Sahara menerima lamaran itu sebelum mereka diijabkabulkan pada 12 Februari 1984.
Di awal perkahwinan, Sahara sudah merasakan bahawa bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengan bekas suaminya dan bekas ahli-ahli al-Arqam.
Perkahwinan Sahara dengan Dr. Nordin mampu bertahan selama lapan bulan sahaja dan selepas diceraikan pada bulan November 1984, Sahara mengambil tindakan keluar dari kumpulan al-Arqam yang didakwanya terbabit dalam perlakuan ganas yang menyalahi undang-undang dan tatasusila kemanusiaan.
''Akibat daripada tindakan nekad saya itu, saya dicaci dan dihina kerana pendedahan terbuka yang saya buat berhubung bekas ahli-ahli kumpulan al-Arqam,'' katanya yang pernah membawa perkara itu ke pengetahuan pemimpin tertinggi wanita pada tahun 1984. Sahara yang pernah dicop sebagai 'jeneral iblis' oleh bekas pemimpin tertinggi al-Arqam berkata, Tuhan benar-benar telah mengujinya kerana hanya selepas 10 tahun barulah pendedahan yang pernah beliau buat dulu sudah terbukti kebenarannya sekarang. ''Saya masih ingat lagi tarikh 5 Ogos 1994 begitu juga tertera dalam ingatan setiap bekas pengikut al-Arqam selepas kumpulan itu diharamkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan,'' cerita Sahara lagi.
Waktu melihat bekas ahli-ahli kumpulan al-Arqam ditahan melalui siaran televisyen, Sahara menangis teresak-esak dan hatinya berkata; "Inilah orang-orang yang pernah menghina dan menganiaya aku dahulu. Kini mereka telah menerima pembalasan perbuatan mereka.''
Satu dekad yang lalu, Sahara pernah mendedahkan bahawa pengikut wanita al-Arqam dijadikan hamba seks kerana tumpuan utama kumpulan itu adalah untuk memuaskan nafsu anggota lelaki mereka sahaja. Kumpulan itu, dakwa Sahara, juga mengamalkan konsep bertukar-tukar isteri dengan menggalakkan perceraian bagi membolehkan pengikut lelaki lain berkahwin pula dengan wanita tersebut selepas itu.
Malah bekas Timbalan Syeikul Arqam Mokhtar Yaacob, pernah menyebut bahawa pertubuhan itu merancang untuk mendapatkan lebih banyak golongan penyanyi dan artis menyertai al-Arqam pada waktu itu.
''Tindak-tanduk al-Arqam jelas menunjukkan bahawa mereka tidak pernah menghargai dan mengiktiraf wanita malah wanita yang diceraikan dibiarkan hidup tanpa bantuan dan pembelaan sewajarnya,'' tegas beliau lagi mengikut pengalamannya. Sahara juga menjelaskan, beliau juga kesal dengan sikap al-Arqam yang mengeksploitasi kanak-kanak untuk menjual pelbagai bahan keluarannya.
Mengimbas kembali perkahwinan ketiganya, Sahara berkata, beliau telah dinikahkan tanpa keterangan yang sah oleh seorang kadi yang merupakan seorang yang penting dalam pertubuhan al-Arqam. "Bekas suami saya juga bukanlah seorang doktor yang berkelayakan. Dia meninggalkan pengajian dalam Jurusan Perubatan di Universiti Malaya (UM) sebelum mendapat ijazah pun,'' ujarnya.
Sahara dan Nordin dinikahkan oleh Kadi Temerloh, Pahang, Syeikh Abdul Rahim Syeikh Ahmad (yang juga merupakan salah seorang bekas ahli al-Arqam) di kediaman kadi berkenaan yang telah dikosongkan.
Sahara mendakwa beliau tidak menandatangani sebarang borang keterangan nikah semasa majlis tersebut dijalankan. ''Malah saya juga tidak ada surat kebenaran dari pihak pendaftar perkahwinan Jabatan Agama Islam di mana saya tinggal untuk membenarkan saya berkahwin di luar kawasan,'' katanya.
Pernikahan itu hanya didaftarkan pada 19 Jun 1984, sesudah empat bulan mereka diijabkabulkan dan didaftarkan melalui Pejabat Kadi Daerah Temerloh, Pahang di bawah nombor 052570 siri 7/84. Ditanya mengenai masa depannya, Sahara berkata; "Saya hanya mencari lelaki yang memahami jiwa saya dan dapat menerima saya sebagai Sahara Yaacob.''
Perkahwinan pertama Sahara berlangsung dengan lelaki Inggeris, Kassim Wheat, 69 tahun ketika Sahara berusia 15 tahun. Kassim kemudiannya menjadi ayah angkat Sahara sehingga lelaki berkenaan meninggal dunia. Beberapa tahun kemudian Sahara mendirikan rumah tangga dengan suami kedua yang dilabelkan sebagai 'lelaki golongan elit', ketika itu Sahara berusia 22 tahun. Selepas perkahwinan Sahara dengan Nordin gagal, Sahara kemudian bertemu jodoh dengan Ghazlan. "Perkahwinan pertama saya hanya bertahan tiga tahun. Yang kedua, dua tahun; ketiga, lapan bulan dan yang terakhir hanya satu setengah tahun.
''Walaupun sedih kerana sentiasa gagal dalam melayari bahtera berumah tangga, namun saya tidak menyesal kerana percaya semua ini adalah takdir yang telah ditentukan oleh Tuhan,'' ujarnya yang telah 12 tahun hidup menjanda. Sahara sesungguhnya adalah seorang insan seni yang berani dan bersemangat dan semuanya adalah kerana pengalaman dan kepercayaannya bahawa seni tidak hina ! - Oleh Ruhaidini Abd. Kadir
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz2amvmJAjZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
|