"SELEPAS melahirkan anak ketiga, saya kurang bersenam dan langsung tidak menjaga makan hingga berat saya semakin naik. "Risau dengan keadaan itu saya mengambil keputusan menggunakan produk pelansingan yang banyak dipromosikan di Internet dan facebook," katanya.
Kata Rina, pelbagai produk pelansingan telah dicuba sama ada dalam bentuk minuman atau pil tetapi beratnya masih tidak berubah.
"Pernah juga saya cuba minum produk pelansingan berasaskan herba, tapi rasa sangat terseksa kerana terpaksa berulang ke tandas akibat perut yang asyik memulas.
"Memang ketika itu berat saya turun satu kilogram tapi badan pula rasa sangat lemah akibat dehidrasi," ujarnya.
Rina turut memberitahu, dia pernah bertekad untuk kurus dengan tidak makan nasi selama sebulan. Tetapi tidak kekal lama.
"Selepas semua produk pelansingan yang diambil tidak menjadi, saya ambil keputusan untuk melakukan senaman seperti berjalan kaki dan naik tangga ke pejabat untuk membakar lemak secara sihat.
"Kini saya sedar bahawa tiada jalan pintas untuk menguruskan badan yang selamat dan berkesan selain aktiviti senaman dan pengambilan diet seimbang," jelasnya.
Rina tidak berseorangan berdepan masalah kegemukan, malah angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini amat mengejutkan apabila 8.5 juta penduduk mengalami masalah berat badan berlebihan dengan 4.4 juta orang obes.
Seperti yang diketahui masalah kegemukan dan obesiti kebiasaannya sering menghantui golongan wanita hingga menyebabkan sesetengah daripada mereka begitu terdesak mengambil jalan pintas semata-mata untuk kurus.
Menyedari kecenderungan golongan itu terhadap kecantikan, ramai usahawan mengambil kesempatan mempromosikan produk pelansingan mereka di pasaran
Fenomena lambakan produk pelansingan di pasaran sekiranya tidak diselidiki terlebih dahulu boleh mengakibatkan kesan sampingan kepada pengguna yang mengamalkannya.
Berdasarkan kajian, wanita yang berumur 40 tahun ke atas adalah golongan yang paling ramai mengalami masalah kegemukan atau obesiti di negara ini akibat pelbagai faktor termasuklah pengambilan saiz makanan yang berlebihan dan kurang bersenam.
Atas sebab itulah golongan ini begitu tertarik untuk kurus sehingga berani makan atau minum produk pelansingan tertentu sebagai jalan pintas untuk lari daripada masalah obesiti.
Menurut Pakar Pemakanan dan Dietetik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Dr. Fatimah Arshad, wanita yang ingin mengamalkan produk pelansingan perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengamalkannya.
"Wanita yang ingin menurunkan berat badan melalui pengambilan produk pelansingan perlu mendapatkan nasihat daripada doktor bagi memastikan produk yang diambil tidak mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh memudaratkan badan.
"Kebiasaannya produk pelansingan yang terdapat di pasaran kini mengandungi bahan seperti diuretik yang menyebabkan pengguna sentiasa buang air kecil atau besar.
"Sekiranya bahan diuretik itu diambil secara berlebihan ia akan mengakibatkan berlakunya dehidrasi dan boleh mendatangkan kematian jika masalah itu berterusan," katanya.
Fatimah berkata, produk pelansingan yang mengandungi bahan diuretik biasanya terdiri daripada produk pelansingan yang berasaskan ramuan herba.
Katanya lagi, bahan yang terkandung dalam produk pelansingan juga biasanya bertindak meransang otak pengguna supaya mengurangkan makan.
"Pengguna yang mengamalkannya akan berasa pening, cepat marah, tekanan darah meningkat, dan bibir menjadi kering.
"Sekiranya pengguna mengalami simptom-simptom tersebut, mereka dinasihatkan untuk berjumpa doktor bagi mengenalpasti sama ada produk itu mengandungi bahan kimia seperti fenformin, sibutremine, dan amphetamines yang telah diharamkan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kaedah paling selamat dan berkesan untuk menguruskan berat badan ialah menerusi diet yang sihat dan seimbang.
"Sebenarnya tidak ada jalan pintas kepada wanita untuk menguruskan berat badan kerana pengambilan produk pelansingan dan bahan suplemen yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan.
"Justeru saya menasihatkan para wanita supaya mengamalkan diet yang seimbang serta melakukan senaman 30 ke 60 minit setiap hari bagi membakar lemak," katanya.
Tambahnya, penurunan berat badan yang ideal ialah dua hingga empat kilogram sebulan.
Wanita juga dinasihatkan untuk mengambil makanan yang seimbang dalam saiz yang bersesuaian dengan keperluan tubuh. Jelasnya, di Malaysia saiz makanan yang sesuai untuk keperluan tubuh badan rakyat di negara ini adalah sekitar 1,500 hingga 2,500 kcal/setiap hari.
Fatimah turut memberitahu amalan penyusuan eksklusif oleh para ibu di awal kelahiran sehingga enam bulan dan berterusan sehingga anak berumur dua tahun juga boleh membantu menghindarkan para wanita daripada masalah obesiti selepas bersalin. - NORAZLINA ISMAIL |