Hampir dua tahun pembabitan dalam dunia lakonan, pendatang baru Siti Aishah Ilias atau Aishah mampu menarik nafas lega apabila bakatnya mula menjadi perhatian penggiat seni, terutama penerbit dan pengarah filem mahupun drama tempatan. Dalam tempoh itu, gadis berusia 25 tahun ini membintangi tiga filem iaitu Paku (bakal ditayang–kan Disember depan), Hussein UFO dan Pilot Cafe.
Sementara drama pula, bermula dengan Athira memegang watak utama, diikuti Dejavu di Kinabalu, Atas Nama Cinta dan terbaru Love You Mr Arrogant kini ditayang di TV3, mengisi slot Akasia.
Begitupun, melihat perkembangan kerjaya seninya, ramai beranggapan perjalanan Aishah dalam dunia lakonan tidak menentu.
Di awal kemunculannya dalam dunia lakonan, gadis yang menetap di Hulu Klang, Selangor ini diberi kepercayaan untuk memegang watak utama, tetapi kini lebih kepada pelakon pembantu.
Sebagai pelakon baru yang semakin mencipta nama, Aishah seharusnya menjaga prestij dengan hanya memegang watak utama sebagaimana pembabitan awalnya dalam bidang lakonan, namun yang berlaku adalah sebaliknya.
Mengambil contoh dalam drama pertama lakonannya Athira disiarkan RTM, dia memegang watak utama tetapi selepas itu hanya diberi watak pembantu dalam kebanyakan karya dibintangi.
Situasi sama juga berlaku dalam filem, menerusi Hussein UFO (masih menanti tarikh tayangan) dan Paku, dia ditawarkan watak utama tetapi menerusi Pilot Cafe diarahkan Osman Ali bergandingan dengan dua lagi pelakon muda dan popular, Izara Aishah dan Neelofa, Aishah hanya memegang watak kecil.
Ketika sesi fotografi bersama SELEBRITI, Aishah menjelaskan, sebagai orang baru yang mencari tapak dan mencipta nama, dia tidak boleh memilih. Apatah lagi dalam keadaan sekarang ada ramai pendatang baru.
“Hendak kata cantik dan berbakat, pelakon muda yang sebaya dan memulakan kerjaya sama waktu dengan saya juga tidak kurang hebatnya. Jadi dalam usaha memperkukuhkan nama dan bakat saya harus mencuba semua watak, tidak kira kecil mahupun besar.
“Kalau ada yang berpendapat saya tidak menjaga prestij sebagai pelakon kerana sanggup menerima watak kecil sedangkan sebelum itu saya bermula sebagai pelakon utama, saya sarankan mereka melihat kembali,” katanya.
Tegas Aishah, selain tidak mahu bersikap memilih, sebagai orang baru dia harus bersedia melakonkan apa saja watak dengan tujuan menimba ilmu. Sebagai contoh dalam Love You Mr Arrogant, dia melakonkan watak ibu kepada dua anak.
“Biasanya ada sebab mengapa saya menerima tawaran walaupun watak sampingan dan kecil. Begitu juga pembabitan saya dalam filem Pilot Cafe, saya buat juga walaupun hanya terbabit dengan enam atau lima babak semata-mata mahu mendapatkan pengalaman bekerja dengan pe–ngarah hebat, Osman Ali,” katanya.
Seperkara lagi, jelas Aishah, sebagai pelakon baru, dia jarang melakukan dua kerja dalam satu masa walaupun tawaran yang datang watak besar.
“Ada juga tawaran watak utama diberikan tetapi selalunya ia datang tidak tepat pada masa kerana saya sudah terikat. Saya tidak pandai ‘cekup’ banyak kerja dan selalunya akan tumpu pada satu saja.
“Saya juga tidak mahu tamak. Kalau sudah rezeki saya berlakon waktu itu watak pembantu, tidak mengapa. Lagipun saya orang baru, banyak lagi perkara perlu saya lakukan dan belajar.
“Saya tahu bawa watak pembantu kurang popular, tetapi tujuan saya menyertai bidang lakonan bukan hendak kejar nama. Kalau apa yang kita lakukan bagus, kecil atau besar wataknya ia tetap menarik perhatian umum,” katanya.
Sebagai pendatang baru, Aishah menitik beratkan disiplin dan berusaha meyakinkan penerbit dan pengarah bahawa bakat dimiliki jauh lebih penting.
Jika sesuatu amanah itu dapat dilaksanakan dengan bagus, dia percaya rezeki pasti berpanjangan. Tambahan pula dia mahu menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya tetap.
“Kalau orang kata saya terus bersikap begini (tidak menjaga prestij dan menerima watak pembantu) akan membuatkan nama saya lambat popular, tidak mengapa. Saya tidak mahu terlalu popular sangat sebab takut. Kalau nama gah tapi bakat tak seberapa, nanti menjadi bahan cemuhan peminat dan penggiat seni.
“Memang popular itu bagus untuk artis kerana kita akan lebih diberi perhatian tetapi jika ada kesilapan dilakukan walaupun kecil, kesan kepada selebriti itu sangat besar hinggakan ia mampu menjatuhkan nama mereka.
“Perkara itulah saya cuba elak. Biarlah saya berada dalam keadaan sekarang, yang penting tawaran kerja tidak pernah putus,” katanya.
Jelas Aishah, biarlah ada yang menggelarnya artis suam-suam kuku, lagipun ia bersesuaian dengan usia pembabitannya dalam dunia lakonan.
Lainlah kalau dia sudah lebih lima tahun tetapi bakat tidak ke ke mana. Itu sudah dianggap tidak bagus.
“Saya juga secara peribadi sudah biasa hidup bersederhana. Kalau popular dan banyak duit tetapi hidup tidak tenang pun tidak guna juga.
“Pada saya, dengan duit lakonan yang saya dapat, cukup makan, cukup pakai dan boleh bantu keluarga sikit, saya sa–ngat bersyukur,” katanya.
Keluar bersama untuk cipta keserasian
Sewaktu awal pembabitannya dalam filem Paku arahan P Rameesh dan diterbitkan Nusantara Seni Karya (NSK), timbul gosip mengatakan Aishah bukan saja bercinta dengan heronya Johan As’ari di dalam filem tetapi juga di luar.
Mereka juga dilihat peminat beberapa kali keluar bersama sebelum dan sepanjang penggambaran Paku dijalankan. Selain Aishah dan Johan, turut membintangi filem yang bakal ditayangkan Disember ini adalah Diana Johor, Azad Jazmin, Kamal Adli, Diddy Hirdy, Wan Hanafisu, Zaidi Omar dan Sidik Hussin.
Menjelaskan perkara itu, Aishah tidak menafikan memang benar sepanjang penggambaran filem berkenaan, mereka sering keluar bersama.
“Itupun atas saranan pihak produksi dan pengarah bagi membolehkan kami mencipta keserasian sebagai pasangan kekasih dalam filem terbabit. Ia penting kerana lakonan yang dipersembahkan nampak benar-benar hidup dan tidak berasa kekok,” katanya.
Jelas Aishah, sebaik penggambaran selesai, dia tidak lagi bertemu Johan. Jika ada pun, mereka hanya terserempak di majlis membabitkan penggiat seni.
“Bayangkan, sejak waktu penggambaran berakhir tahun lalu sehingga sekarang, kami tidak pernah bertemu atau keluar bersama. Cuma sesekali kami berhubung menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Itupun hanya berkaitan kerja,” katanya.
Menyentuh statusnya, tegas Aishah, dia masih solo dan belum memikirkan soal cinta, apatah lagi jodoh. Baginya, biarlah perkara yang satu itu datang dengan sendiri.
“Saya masih muda. Usia baru nak cecah 25 tahun. Kerjaya seni pun tak kukuh lagi. Biar saya tumpukan perhatian pada kerja. Kalau hendak fikir soal kekasih dan teman lelaki ini payah. Dapat orang yang faham tak mengapa, kalau tidak faham macam mana?
“Saya tidak mahu sia-siakan apa yang saya bina sepanjang dua tahun ini. Kalau hendak bercinta pun apabila usia mencecah lewat 20-an dan waktu itu kerjaya sudah kukuh, baru saya akan memikirkannya,” katanya.
|