|
- Izreen Azminda
[url=]<[/url] 1 / 1 [url=]>[/url]
BUKAN setahun dia melangkah ke dalam bidang seni dan bukan sekali dia menjadi mangsa 'sepak terajang' industri.
Dalam giat mencipta nama, dia pernah terjatuh dan hampir tidak di pandang, namun bagi Izreen Azminda, dia sudah membuktikan kehadirannya dalam industri seni bukan sia-sia.
Setelah lapan tahun bergelumang dalam dunia seni, Izreen membuktikan dia layak membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Perempuan Itu Ibuku), antara naskhah terbaik yang pernah dilakukannya.
Pernah membintangi drama Juvana (2011) yang turut memenangi anugerah Drama Rantaian Terbaik tahun yang sama, nama Izreen semakin menjadi sebutan ramai.
Walaupun memenangi trofi itu, dia menegaskan bahawa harga untuknya berlakon seperti sedia kala.
"Ia bukan sebagai batu loncatan untuk menaikkan harga tetapi saya menganggapnya satu pengiktirafan setelah sekian lama terlibat dalam industri ini.
"Harga saya masih seperti dulu dan saya tidak berani untuk 'demand' kerana risau tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya nanti," tegasnya.
Biarpun di awal kemunculannya, dia kurang dikenali namun lakonannya yang mantap dalam drama Tentang Dhia sebagai watak antagonis sedikit sebanyak membantu kerjayanya.
Ubah sikap
Mengimbas kembali permulaan kerjaya seninya, Izreen berkata dia dicabar oleh pelakon yang diseganinya, Datuk Rosyam Noor untuk menurunkan berat badannya.
"Saya masih ingat lagi, abang Rosyam merupakan orang pertama berani mencabar saya untuk kuruskan badan.
"Dia (Rosyam) cakap jika saya berjaya tampil kurus, saya akan diambil untuk berlakon dalam drama arahannya," ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu.
Dek tercabar dengan kata-kata Rosyam, dia mengambil pelbagai inisiatif bagi mengurangkan berat badannya untuk berlakon dalam drama pertamanya, Sesuci Cinta Sofea sebagai pelakon tambahan di samping Rosyam dan Rozita Che Wan.
Menerusi drama tersebut, Izreen menerima banyak tawaran berlakon dan tidak selektif memilih pelbagai watak termasuk drama Atikah Najwa 2, Mendongak Ke Langit, Gerak Khas, Gelora Di Hati
Sara dan sebagainya.
Selain popularitinya yang meningkat naik, Izreen turut mengalami perubahan drastik dari segi sikap dan perangainya.
“Alhamdulillah, lama-kelamaan ramai yang nampak bakat saya. Sekarang ini sudah banyak perubahan yang saya alami.
"Kalau dulu saya bersikap ala tomboy dan kasar, tapi sejak jadi ibu saya lebih feminin.
"Dan mungkin juga sikap lama menyebabkan ramai penerbit sukar menawarkan kerja," ujarnya.
Dalam masa yang sama, dia juga mengakui agak lambat untuk dikenali dalam industri namun pengalaman yang dilaluinya sepanjang tempoh itu dijadikan sebagai proses pembelajaran.
Perkembangan lain, Izreen bakal muncul dalam drama berantai terbitan Suhan Movie berjudul 7 Suami Nik Yah, tidak lama lagi.
http://www.sinarharian.com.my/hi ... nda-demand-1.229838
|
|