KUALA LUMPUR - Pelakon dan pengacara Noor Neelofa Mohd. Noor menyatakan buat masa ini dia tiada perancangan untuk mendirikan rumah tangga, biarpun baru saja menginjak usia 26 tahun pada 10 Februari lalu.
Neelofa berkata, ketika ini dia lebih selesa untuk memberi tumpuan kepada bidang perniagaan dan kerjaya seninya terutama dalam bidang pengacaraan.
"Apa yang saya boleh cakap, memang tiada perancangan untuk berkahwin ketika ini.
"Lagipun saya tidak berasa terlalu terdesak mendirikan rumah tangga sekarang kerana banyak perkara lagi yang ingin saya capai," ujarnya ketika sambutan hari ulang tahunnya ke-26 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan hari ini.
Ketika ditanya mengenai perancangannya pula, pengacara program MeleTOP itu menyatakan dia mahu kembali berlakon setelah dua tahun meninggalkan bidang tersebut.
Ujarnya, buat permulaan ini dia lebih gemar sekiranya di diberikan tawaran untuk membintangi telefilem terlebih dahulu.
"Tentang watak pula, saya tidak kisah untuk diberikan apa sahaja peranan serta jalan ceritanya.
"Tidak semestinya kalau sudah bertudung, saya kena berlakon dalam produk berbentuk keagamaan sahaja," jelasnya. - KOSMO!
|