|
KUMPULAN Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) meneruskan komitmen sebagai tajaan kepada Rangsangan Sukan Selangor (RSS) bagi memastikan lebih ramai atlet remaja dapat dilahirkan untuk mewakili negeri Selangor amnya.
Pengerusi Perangsang Selangor, Datuk Idris Raja Kamaruddin berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta kepada RSS tahun ini dengan mengekalkan enam sukan tersebut iaitu boling, badminton, renang, lumba basikal, bola sepak dan skuasy.
"Bagi program RSS 2015, kami memperuntukkan RM250,000 untuk pembangunan sukan boling, RM800,000 bagi badminton, renang, lumba basikal dan bola sepak manakala sebanyak RM100,000 untuk skuasy.
"Kita harap tajaan ini dapat membantu menggilap bakat bermula dari peringkat akar umbi seterusnya melahirkan ramai ahli sukan remaja berkualiti," katanya berucap pada majlis penyampaian anugerah RSS di Shah Alam semalam.
Dalam anugerah itu, seramai 44 atlet sukan renang, badminton, lumba basikal dan boling di bawah program RSS menerima insentif berjumlah RM33,150.
Sukan renang kumpul insentif tertinggi menerusi 19 perenang dengan jumlah RM21,600 diikuti 10 atlet sukan badminton, RM5,100, sembilan atlet lumba basikal RM4,600 dan enam atlet sukan boling dengan jumlah RM1,850.
sumber:sinar harian
|
|