|
|

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh kira-kira jam 9.55 malam tadi. - Foto NSTP
SUNGAI BULOH: Tiga termasuk dua beranak terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Merbau Sempak dekat sini, malam tadi.
Kemalangan kira-kira jam 9.45 malam itu membabitkan PERODUA Myvi dari arah Bandar Sungai Buloh dengan Proton Waja.
Pertembungan itu mengakibatkan pemandu Myvi dan anak lelakinya meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi ahli keluarga mereka parah.
Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan. Mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
Seorang lagi yang maut dipercayai pemandu Proton Waja, manakala seorang penumpang kereta itu dilaporkan parah.
Identiti semua mangsa belum dikenal pasti.
Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata sebuah jentera bomba bersama lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba Sungai Buloh, dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat.
"Anggota bomba mengambil masa hampir setengah jam bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang, berkata pihaknya sedang menyiasat bagi mengenal pasti punca kemalangan.
http://www.bharian.com.my/node/48264
|
|