|
Najib: Jangan Pandang Rendah Kemampuan, Saya Ada Semangat Pahlawan Jun 4, 2015 2
MENEGASKAN beliau mempunyai semangat kepimpinan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai perdana menteri dengan berucap di hadapan 10,000 hadirin, “Jangan pandang rendah dengan saya.”
“Saya akan bekerja keras. Darah yang mengalir dalam diri saya bukan sebarangan darah. Kadang-kala memang saya nampak macam seorang diplomatik tetapi saya juga ada semangat melawan,” katanya ketika berucap di Stadium Perpaduan di Kuching pada majlis Sarawak for Najib hari ini.
“Mengenai isu 1MDB, kami akan menyelesaikannya dalam masa terdekat, begitu juga dengan hal-hal berbangkit yang lain. Hati saya sentiasa bersama kamu, Sarawak, kita akan lihat sama-sama apa permasalahan di sini yang kita boleh selesaikan bersama,” kata beliau.
Memetik sumber The Star, Najib turut mengulang pendiriannya yang tetap menyokong mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad biarpun Tun M lantang mengkritik pentadbiran beliau.
“Bila tiada masalah, semua orang sokong kan? Tapi bila ada sedikit masalah, saya percaya permasalahan yang timbul boleh diselesaikan.
“Semasa era pemerintahan perdana menteri sebelum-sebelum ini juga terdapat juga masalah. Kadang-kadang yang lebih besar lagi.
“Tapi saya tetap memberikan sokongan terhadap beliau (Tun M) sepanjang memerintah 22 tahun. Saya seorang yang setia dan disebabkan pemimpin macam saya, beliau kekal memerintah selama 22 tahun.
“Ini adalah era pemerintahan saya sebagai Perdana Menteri. Saya tidak akan berundur hanya disebabkan oleh seorang individu,” tegas Najib lagi.
Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata beliau akan tetap memberikan sokongan terhadap Perdana Menteri memandangkan Najib sudah melakukan perubahan yang cukup besar terhadap negeri itu malah melangkaui pencapaian kelima-lima mantan perdana menteri sebelum ini. - MYNEWSHUB.CC
|
|