Edited by EJALTI at 2-8-2015 01:48 PM
Siapa kata pilihan raya esok, ada banyak masa lagi, kata Najib
OLEH RAM ANAND Published: 2 August 2015 8:02 PM http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/siapa-kata-pilihan-raya-esok-ada-banyak-masa-lagi-kata-najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyangkal dakwaan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lepas yang BN akan tewas dalam pilihan raya umum jika ia diadakan sekarang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 2 Ogos, 2015.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) dan Umno masih mempunyai banyak masa untuk meraih keyakinan orang ramai kerana pilihan raya tidak akan diadakan "hari ini atau esok".
Kenyataan beliau itu dilihat seperti menjawab dakwaan timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lepas yang BN akan tewas dalam pilihan raya umum jika ia diadakan sekarang.
"Ada orang kata kita akan kalah jika pilihan raya diadakan hari ini. Siapa kata pilihan raya hari ini? Bukan hari ini, bukan esok," kata Najib pada mesyuarat agung tahunan Umno bahagian Hulu Selangor di Kuala Kubu Bharu hari ini.
"Kita ada cukup banyak masa untuk itu, untuk mendapatkan keyakinan orang ramai," katanya.
Muhyiddin Ahad lepas memberi amaran tentang kedudukan BN dari persepsi masyarakat sekarang disebabkan oleh kontroversi yang menyelubungi sekitar 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau bagaimanapun memberi amaran, Umno perlu menukar kaedahnya jika ia mahu berjaya dalam pilihan raya yang akan datang, mengatakan ia sering kali tidak memberi tumpuan kepada rakyat "di luar dewan."
"Kita selalu fikir, kita bawa rakyat ke dalam dewan, dan mereka semua sokong kita. Kita lupa kepada orang di luar dewan," katanya. "Kita perlu melihat kepada program kita untuk turut mendekati mereka yang di luar dewan," katanya.
Beliau berkata, sia-sia sahaja parti mencurahkan begitu banyak tenaga bagi program seperti itu jika ia tidak membuahkan hasil.
"Saya selalu cakap, hasil itu penting, bukan sahaja usaha yang dicurahkan," katanya.
Najib berkata, beliau sendiri turut berasa "tertipu" apabila kira-kira 30,000 orang hadir pada satu programnya di Selangor pada pilihan raya umum yang lalu.
"Saya fikir, oh, tengoklah betapa ramai yang keluar, orang-orang ini akan mengundi kita. Tetapi, mereka tidak mengundi kita," katanya. – 2 Ogos, 2015.
|